Orang ramai tetap menyeberangi Sungai Golok di Pengkalan MCA walaupun paras air meningkat, semalam.
Orang ramai tetap menyeberangi Sungai Golok di Pengkalan MCA walaupun paras air meningkat, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Azlan Hafeedz dan Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Hujan lebat yang berterusan selama tiga hari menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir dan seramai 74 mangsa daripada 18 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara masing-masing di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

Pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, di sini, yang dibuka pada jam 12 tengah hari, semalam menerima 29 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Tiong manakala SK Wakaf Raja, Pasir Puteh yang dibuka kelmarin menerima 26 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Tasek.

Dua pusat pemindahan sementara di Bachok dibuka semalam iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat menempatkan tujuh orang daripada tiga keluarga dan SMK Beris Panchor yang menempatkan 12 orang daripada tiga keluarga.

Mangsa banjir dari Kampung Tasek yang ditemui di SK Wakaf Raja, Rohana Sakri, 34, melahirkan kebimbangan kerana paras air di rumahnya melebihi dua meter.

“Kami sudah biasa mengharungi air paras dada namun kelibat seekor buaya, dua bulan lalu merisaukan kami sekiranya ia muncul ketika ini.

“Sebelum ini setiap kali banjir, kami termasuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas akan mengharungi air untuk keluar ke jalan utama sejauh 500 meter.

“Namun, kali ini kami tidak berani berbuat demikian dan menunggu pasukan penyelamat datang membantu memindahkan kami ke lokasi lebih selamat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang mangsa banjir di SK Tiong, Suziana Zulkifli, 36, berkata, setiap tahun rumahnya di Kampung Tiong dilanda banjir dan kini dinaiki air separas 1.5 meter.

“Saya juga menghubungi polis pada jam 7.15 pagi selepas air naik ke atas rumah separas paha sebelum berpindah ke sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Nilam Puri Sarjan Mejar A Rahman Ismail berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) segera memindahkan mangsa pada jam 11.45 pagi semalam.

“Semua mangsa dipindahkan dalam masa setengah jam dan saya dapati paras air di kawasan rumah mereka setinggi 1.5 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:49 AM