Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mesra Ria, Taman Sri Petaling, berhampiran SMK Sri Saujana.
Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mesra Ria, Taman Sri Petaling, berhampiran SMK Sri Saujana.

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut sejurus kereta dipandunya merempuh hentian bas di Jalan Mesra Ria, Taman Sri Petaling, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Saujana di sini.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, mangsa berusia 26 tahun parah di kepala sebelum disahkan maut oleh anggota paramedik.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam dan sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kereta.

“Anggota bomba kemudian menggunakan alatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz untuk bedah siasat.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki sesak nafas apabila kereta dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tiang jejantas di pembahagi jalan Kilometer 18.3, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini.

Dalam kejadian jam 10.55 pagi kelmarin, mangsa, Nik Mohammad Asyraf Abdul Rahman, 33, yang memandu kereta Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Kelang Gates menuju ke Ampang sebelum terbabas.

Pegawai Daerah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Ruslan Lokk berkata, sepasukan anggotanya segera membantu menyelamatkan mangsa yang mengalami sesak nafas akibat dadanya terhentak pada stering kereta.

“Mangsa kemudian di bawa ke Hospital Ampang untuk rawatan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:22 AM