FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Panik apabila kereta dihampiri polis menyebabkan seorang penjenayah bertindak memecut kereta dipandu sebelum merempuh kenderaan lain.

Kejadian berlaku jam 10.18 pagi semalam, apabila sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pergi ke sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Kolam Air Lama di sini, susulan laporan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pemeriksaan mendapati pintu kereta itu berkunci dan enjin kenderaan masih hidup.

Menurutnya, anggota polis kemudian berusaha mengejutkan lelaki terbabit.

"Suspek yang tersedar namun enggan membuka pintu kereta sebelum memecut melarikan diri. Anggota polis kemudian mengekori kereta suspek yang dipandu menuju ke arah Jalan Ampang.

"Suspek yang melarikan diri turut merempuh sebuah kenderaan lain. Suspek kemudian dikesan berhenti di sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini," katanya.

Menurutnya, orang awam yang berada di lokasi itu bertindak menutup pagar premis berkenaan.

"Anggota polis kemudian memecahkan cermin kereta untuk menahan suspek menyebabkan jarinya cedera. Namun suspek merempuh pula pagar premis dan melarikan diri," katanya.

Mohamad Farouk berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang melakukan serbuan bersabit kes curi motosikal berjaya menahan suspek di sebuah bengkel di Kampung Melayu Tambahan, di sini, jam 11.55 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun itu adalah individu sama yang melarikan diri dari pemeriksaan polis sebelum ini.

"Hasil semakan, suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau termasuk dadah. Suspek kini masih dalam tahanan polis IPD Dang Wangi," katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan pihaknya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:13 PM