PELAJAR bersama  guru pengiring  SMK Sultan Alauddin meraikan kemenangan selepas dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Memasak 2016 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.
PELAJAR bersama guru pengiring SMK Sultan Alauddin meraikan kemenangan selepas dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Memasak 2016 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.
Icka S Hassan

Shah Alam: Menu Nasi Keluban Mak Ila dan Pecal Ayam Mak Ros yang dihasilkan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Kulai, Johor berjaya menambat hati juri, sekali gus diumumkan juara pada Pertandingan Memasak Edisi 20 Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan anjuran Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle), malam kelmarin.

Menerusi pertandingan yang bertemakan Menu Sihat, Sajian Istimewa Ibu Saya, kumpulan yang terdiri daripada tiga pelajar tingkatan tiga, Ain Najwa Zainal, Anis Suriani Mohd Ashraf dan Elya Natasha Sahmat berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, pingat, sijil dan hamper.

Ketua kumpulan Ain Najwa, 15, berkata, menu asal itu adalah idea gabungan antara mereka dan ibunya sebelum diolah semula guru bagi memperkenalkan diet sihat melalui menu enak dengan kandungan lemak rendah.

“Istimewa dalam nasi keluban kerana ada gabungan tujuh jenis ulam manakala sos pecal pula menjadi idaman ramai kerana mengandungi cekur dan pucuk ubi.

“Kedua-dua menu ini turut digabungkan dengan Yogurt Nestle Rendah Lemak (Oren), Susu Rendah Lemak (Nestle) dan Maggi Cukup Rasa bagi menambahkan kesedapan,” katanya ditemui pada majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi.

SMK Seri Bemban, Melaka, pula diumumkan pemenang tempat kedua seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga ialah SM Sains Rembau, Negeri Sembilan yang menerima RM2,000.

Sekolah Agama Menengah Rawang, Selangor pula menerima undian tertinggi melalui Facebook sebanyak 7,402.

Sementara itu, Pengurus Eksekutif Perniagaan, Bahagian Makanan Nestle, Rosalyn Simba berkata, pelajar yang menjuarai pertandingan itu akan dibawa menyertai program kulinari di Sekolah Kulinari Bandung, Indonesia.

“Kami sentiasa komited untuk membekalkan sajian yang lazat dan seimbang kepada rakyat Malaysia dan pertandingan ini adalah satu daripada landasan utama bagi kami berkongsi ilmu memasak dengan generasi lebih muda.

“Tema tahun ini memberi penghormatan kepada golongan ibu dan pelbagai peranan yang dimainkan mereka. Ibu adalah suri yang menyediakan pelbagai masakan di rumah,” katanya.

Rosalyn berkata, acara pada tahun ini bukan saja diadakan sempena ulang tahun, tetapi turut meraikan usaha sama Nestle dan Kementerian Pendidikan sepanjang tempoh 20 tahun.

Beliau berkata, hingga kini, melalui pertandingan berkenaan seramai 301,500 bakat muda daripada 13,060 sekolah menengah di seluruh Malaysia sudah menyertainya bagi menimba ilmu dan kemahiran mengenai makanan, khasiat serta pemakanan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:48 AM