FAARIS dan keluarga.
FAARIS dan keluarga.
Suliati Asri


BAGI mencari dan memupuk bakat masakan dalam kalangan belia di Malaysia, MAGGI® dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2021 (MSSCC 2021).

Penganjuran MSSCC 2021 yang turut menandakan tahun ke-25 MAGGI ® bekerjasama dengan KPM adalah platform untuk generasi muda memupuk kemahiran kulinari dan kemahiran hidup, pengetahuan dan efikasi kendiri yang kritikal ke arah pembinaan keyakinan serta pembangunan sahsiah dalam kehidupan mereka.

Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI®, Nestle (Malaysia) Berhad Geetha Balakrishna berkata, mendepani realiti baharu pasca pandemik Covid-19, pihaknya mengalihkan pertandingan ini kepada platform maya sepenuhnya buat pertama kali tahun ini bagi membolehkan semua pelajar mengambil bahagian tanpa menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka.

"Memandangkan ramai pelajar masih berada di rumah kerana pandemik, ini masa yang sesuai untuk mereka memupuk kemahiran memasak.

"Pertandingan ini berterusan sebagai platform untuk bakat muda ini mempamerkan bakat terpendam mereka dan peluang perkongsian ilmu melalui pelbagai modul pendidikan oleh pakar industri," katanya.

Bertemakan Anda & MAGGI, Sajikan Kelainan Untuk Inspirasi Harian, MSSCC 2021 membabitkan 1,000 pelajar beraspirasi tinggi, berusia 13 hingga 15 tahun dari 350 sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 16 pemenang yang mewakili 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan bersaing serta lima pemenang peringkat kebangsaan akhirnya dipilih sebagai juara.

Lima pemenang itu ialah Rafidah Fitri Hamidzol, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Syed Alwi, Perlis, Muhammad Faaris Salihin Mohd Firdaus, 13, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Nursyafiqah Mohd Azmi, 14, SMK Intan Perdana, Negeri Sembilan, Yap Mei Wei, 13, SMJK Katholik, Selangor dan Jaymee Ong Miin Li, 15, SMJK Heng Ee, Pulau Pinang.

Menerusi pertandingan ini, ia bukan saja memperlihatkan bakat memasak peserta yang luar biasa, tetapi juga dalam membuat pilihan pemakanan menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia

atau Suku-Suku Separuh ke arah membina tabiat pemakanan yang lebih sihat.

Peserta juga dikehendaki menghantar resipi dalam format video dan dinilai berdasarkan penggunaan bahan kreatif, kemahiran memasak, persembahan dan inspirasi masakan.

Selain itu, empat modul pembelajaran dalam talian serba baharu melalui Google Classroom turut diperkenalkan dengan kerjasama cef selebriti dan personaliti masakan untuk menyokong kesinambungan pembelajaran ketika pandemik Covid-19.

RAFIDAH dan Cikgu Fiza.
RAFIDAH dan Cikgu Fiza.

Empat modul pembelajaran terdiri daripada Masakan Sihat dan Seimbang bersama Chef MAGGI® Chef Sharifah Hamidah dan Pakar Pemakanan Nestle Ven Luan; Pembelajaran Keselamatan dan Kebersihan Penyediaan Makanan bersama Chef MAGGI®, Chef Muluk; Petua Penggayaan Makanan Profesional bersama cef selebriti dan pengacara TV, Chef Sherson Lian dan Pembinaan Keyakinan Diri Anda dengan Duta Jenama MAGGI® CukupRasa Datin Paduka Eina Azman.

Sementara itu, pemenang utama MSSCC 2021, Rafidah berkata, resipi Nasi Ulam & Sate Lilit Ikan Talapia yang mengangkatnya sebagai juara adalah inspirasi dari masakan nenek.

"Antara bahan yang saya gunakan ialah herba dan sayur-sayuran yang ditanam di sekitar rumah.

"Menerusi resipi ini, saya berharap dapat memperkenalkan semula masakan tradisional yang sihat dan berkhasiat terutama kepada golongan muda Malaysia," katanya.

Naib juara Muhammad Faaris Salihin yang menyediakan resipi Udang Sos Padang berkata, dia mendapat inspirasi untuk memasak selepas ibunya meninggal dunia.

"Saya memikul tanggungjawab menyediakan juadah untuk ayah dan adik-beradik. Saya berharap usaha kulinari ini akan membawa senyuman di wajah mereka," katanya.

Resipi pemenang lain termasuk Roll Telur Korea yang bebas minyak dan seimbang nutrisi oleh Nursyafiqah, Nasi Goreng Pelangi oleh Yap Mei Wei yang menggunakan bahan makanan berwarna-warni untuk menggambarkan harapan, kegembiraan serta kejayaan dan resipi Sarang Burung oleh Jaymee Ong yang melambangkan

ikatan antara keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:01 AM