LIOW merasmikan pusat perkhidmatan pengisian bahan api, WEBS di Pulau Indah,  semalam.
LIOW merasmikan pusat perkhidmatan pengisian bahan api, WEBS di Pulau Indah, semalam.

Pelabuhan Klang: Kementerian Pengangkutan sudah mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mempercepatkan penggubalan undang-undang mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grabcar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya mengakui belum ada peraturan khas untuk seliaan kedua-dua perkhidmatan pengangkutan itu sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan pemandu teksi.

“SPAD memerlukan masa dan berlaku sedikit kelewatan, namun kita sudah meminta SPAD menyegerakan undang-undang itu yang diharap dapat dilakukan pada bulan depan.

“Jika peraturan baru itu dikuatkuasakan untuk Uber atau Grabcar kelak, kita akan turut mengawal selia teksi, sekali gus menyelesaikan isu sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat perkhidmatan pengisian bahan api, Westports Bunkering Services (WEBS) di Pulau Indah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Tan Sri Kong Cho Ha, Ketua Eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd, Ruben Emir Gnanalingam, Pengarah Webs Oil Hub Sdn Bhd, Kerbin SC Chia dan Pengarah WEBS, Cher Lee Kiat.

Tiong Lai berkata, kementerian sememangnya mahu peraturan yang mewujudkan keseimbangan antara teksi, Uber dan Grabcar supaya tiada perbezaan bagi semua perkhidmatan pengangkutan itu.

“Kita menerima pelbagai rungutan terutama daripada pemandu teksi kerana mereka dikenakan peraturan tertentu, namun tidak kepada pemandu Uber atau Grabcar.

“Justeru, kita mahu menyediakan polisi lebih baik untuk ketiga-tiganya dengan menggunakan plat-
form sama. Tunggu pengumuman dibuat SPAD nanti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap pelaksanaan penyelarasan itu dapat dikuatkuasakan pada tahun depan.

Julai lalu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar memaklumkan kertas kerja penyelarasan perkhidmatan Uber, Grabcar dan teksi dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini kerana ia perlu dinilai semula pihak berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:21 AM