SEBAHAGIAN penduduk Kampung Sungai Baru yang hadir di mesyuarat agung pertama Persatuan Komuniti Sungai Baru di Pusat Internet 1Malaysia.
SEBAHAGIAN penduduk Kampung Sungai Baru yang hadir di mesyuarat agung pertama Persatuan Komuniti Sungai Baru di Pusat Internet 1Malaysia.

Kuala Lumpur: “Tidak ada pemaju yang boleh membangunkan Kampung Baru jika tidak berbincang dengan wakil rakyat dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), kalau tidak bincang penduduk boleh suruh mereka keluar dari sini,” tegas Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau yang menghadiri sesi dialog bersama Persatuan Komuniti Sungai Baru, Kampung Baru, semalam diminta memberi penjelasan mengenai pencerobohan pemaju luar yang ingin membangunkan kampung berkenaan.

Penduduk mendakwa, ada antara mereka sudah menerima wang pendahuluan RM5,000 daripada pemaju untuk memujuk penduduk untuk membangunkan semula kawasan Sungai Baru.

Johari berkata, setakat semalam, dia tidak pernah dihubungi atau berjumpa dengan pemaju yang mendakwa mahu membangunkan kawasan Sungai Baru itu.

“Kalau nak jadi pemaju dan nak bangunkan kawasan ini jangan jadi penipu, masyarakat tiada masalah, tiba-tiba huru-hara bila mereka datang.

“Tiada siapa berhak halau penduduk Kampung Baru khusus di Sungai Baru, nak jadi pemaju bukan senang, kita akan tengok semua termasuk rekod kewangan mereka, bukan memujuk penduduk semata-mata,” katanya ketika sesi soal jawab dengan penduduk di Dewan Kampung Sungai, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:14 AM