Kemudahan makmal untuk ujian pesakit turut disediakan.
Kemudahan makmal untuk ujian pesakit turut disediakan.
Kemudahan farmasi yang lengkap.
Kemudahan farmasi yang lengkap.
DR Mohd Sapawi Mohamed menunjukkan antara peralatan yang terdapat di Pusat Rawatan Dar Al Jeffri Madinah.
DR Mohd Sapawi Mohamed menunjukkan antara peralatan yang terdapat di Pusat Rawatan Dar Al Jeffri Madinah.
Safar Ahmad

Makkah: Kewujudan pusat rawatan dan klinik Lembaga Tabung Haji (TH) yang dikendalikan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengelak risiko pesakit menunggu terlalu lama berbanding jika pesakit mendapat rawatan di hospital Arab Saudi.

Ketua Pakar Rombongan Perubatan Tanah Suci Datuk Dr Rosemi Salleh berkata, ini kerana pada kemuncak musim haji ramai pesakit di Tanah Suci tertumpu di hospital tempatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi setakat kelmarin, 281,439 jemaah menerima rawatan di hospital tempatan di Tanah Suci.

“Dengan adanya kemudahan hospital Malaysia yang disediakan TH, sebahagian besar jemaah kita dapat dirawat di sini.

“Kita dapat mengurangkan risiko pesakit terpaksa menunggu untuk mendapat rawatan di hospital Arab Saudi, ini kelebihan yang kita ada,” katanya.

Dr Rosemi berkata, tahap perkhidmatan pusat rawatan TH akan dipertingkatkan saban tahun bagi memastikan jemaah menerima layanan perubatan terbaik.

“Sepanjang 22 tahun pengalaman saya berkhidmat pada musim haji kita memberikan yang terbaik kepada jemaah.

“Majoriti jemaah pertama kali datang dan saya perasan mereka tidak bersedia untuk berada dalam keadaan yang begini ramai dan mereka susah untuk berhubung dan bersama masyarakat dunia.

“Mereka sukar menyesuaikan diri jadi di sini, kita boleh fokus kepada mereka. Sesetengah jemaah memaklumkan di sini lebih baik daripada pusat rawatan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Saiful Azlan Sharif berkata, jemaah seharusnya bersyukur kerana KKM masih berkemampuan untuk membekalkan petugas perubatan berkhidmat di Tanah Suci.

Malah, katanya, rombongan perubatan di sini juga terdiri daripada pasukan yang berkaliber yang mempunyai setiap perjawatan.

“Mereka rombongan perubatan yang terlatih daripada pelbagai bidang, jadi apabila jemaah haji sakit kita berkeupayaan memberi rawatan kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 9:31 AM