NAJIB (tengah) pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11, semalam.
NAJIB (tengah) pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11, semalam.
BERNAMA

Vientiane: Pendirian Malaysia berhubung isu keselamatan di Laut China Selatan (LCS) agar ia diselesaikan secara rundingan turut dipersetujui oleh semua negara pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-11 di sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata semua negara termasuk China telah memberikan komitmen untuk mematuhi Deklarasi Tata laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dan Pemakaian Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC) yang akan dirumuskan tahun depan.

“EAS kali ini adalah suasana yang positif dalam kita membincangkan hal-hal berkaitan rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

“Kita melihat ada keinginan yang positif dalam mencari penyelesaian soal pertindihan di Laut China Selatan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Anggota EAS terdiri daripada negara-negara ASEAN dan Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Russia.

Isu berkaitan LCS kebelakangan menjadi isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama seperti perkembangan di wilayah maritim itu, keganasan dan ekstremisme, keselamatan maritim dan isu-isu keselamatan yang lain.

Najib berkata, semua negara juga bersetuju supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan di wilayah maritim itu.

“Semua negara termasuk China telah beri komitmen untuk mematuhi DOC dan bekerja keras supaya COC ini dirumuskan pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:35 AM