Nurdayana bersama ibunya, Lina dan  bapanya, Mohd Zaini Sulaiman, 48.
Nurdayana bersama ibunya, Lina dan bapanya, Mohd Zaini Sulaiman, 48.

Kuala Lumpur: Kanak-kanak istimewa yang dilahirkan tanpa hidung, Nurdayana Mohd Zaini berusia empat tahun akan menjalani pembedahan pertamanya pada 22 Ogos ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dipasang alat peregang rahang atau ‘distractor’.

Bagaimanapun, alat yang dipasang itu bukan yang asal seperti dibeli sebelum ini dengan kos lebih RM20,000 tetapi ia diganti dengan sebuah lagi alat peregang lebih canggih yang dapat meregang bahagian rahang dan muka secara serentak.

Pengerusi We Love Charity (WLC), Marziana Abd Rashid berkata, alat peregang terbabit yang bernilai RM30,000 itu mempunyai fungsi dua dalam satu di mana ia akan meregang bahagian muka Nurdayana secara sama rata berbanding alat sama yang mempunyai satu fungsi sebelum ini.

“Ia agak mahal sedikit berbanding yang lama dan kita hanya menggantikannya saja.

“Kita dimaklumkan pembedahan akan dilakukan pada 22 Ogos ini untuk memasang alat peregang itu. Apa yang boleh saya katakan ialah doktor mempunyai keyakinan bahawa pembedahan itu akan berjalan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Pembedahan itu akan dilakukan pasukan ‘craniofasial’ yang disertai 10 doktor pakar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) diketuai Dekan dan Perunding Kanan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Prof Datuk Dr Zainal Ariff Abdul Rahman.

Mengenai kegusaran ibu Nurdayana, Lina Awang, 36, mengenai pembedahan itu, Marziana berkata, perkara itu sudah dijelaskan secara terperinci kepada keluarga kanak-kanak berkenaan.

Menurut Marziana, beliau mengakui kebimbangan yang berlaku menyebabkan keluarga Nurdayana mahu pembedahan itu ditangguhkan, tetapi WLC sudah memaklumkan bahawa ia tidak dapat dilakukan disebabkan banyak faktor.

Katanya, bahagian muka Nurdayana diukur semula untuk menghasilkan alat peregang yang sepadan sekiranya pembedahan ditangguhkan kerana bahagian rahang akan berubah mengikut umur.

“Berdasarkan apa yang dimaklumkan, doktor yakin pembedahan ini dapat berjalan lancar terutama apabila pasukan doktor yang menyertai pembedahan terdiri daripada pakar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:00 AM