Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) membuat kelainan pada penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MPB 2016 apabila 80 pengurus kanan syarikat berkenaan membuat persembahan di majlis terbabit, semalam.

Persembahan berkonsepkan muzik seperti K-Pop, dikir barat, Hindi, poco-poco dan lagu campuran itu menjadikan majlis yang bertemakan Suka Suki Aidilfitri berlangsung meriah dan unik.

Majlis berkenaan diadakan di dua lokasi iaitu Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama dan Balai Berita, Bangsar, di sini, yang dihadiri kira-kira 4,000 kakitangan MPB.

Pengurus Perhubungan Pekerja Kumpulan MPB Fauzi Hashim berkata, kelainan yang ditampilkan itu menjadikan majlis berkenaan istimewa dan diingati seluruh warga syarikat.

“Kebiasaannya hanya kakitangan yang menghiburkan pihak pengurusan kanan, tetapi kali ini adalah sebaliknya.

“Majlis berlangsung secara santai, sekali gus dapat mengeratkan hubungan di samping membentuk ukhuwah yang lebih mesra dengan kakitangan,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan BH Datuk Mahfar Ali.

Fauzi berkata, jika sebelum ini masing-masing sibuk dengan tuntutan tugas, tetapi dengan adanya majlis seperti itu kakitangan boleh berkumpul dan berbual bersama secara lebih dekat.

Selain itu, katanya, pelbagai aneka juadah disediakan untuk kakitangan dan tetamu seperti nasi beriani, sate, kambing bakar, tauhu bakar, lemang dan makanan pantai timur.

Menurutnya, acara tradisi berkenaan akan terus diadakan pada tahun hadapan, tetapi konsepnya berubah mengikut kesesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 10:01 AM
Persembahan dikir barat Arjuna Riong menghiburkan kakitangan dan tetamu majlis.
Persembahan dikir barat Arjuna Riong menghiburkan kakitangan dan tetamu majlis.
(DARI kiri) Abdul Jalil, Mohamed Jawhar, Mohammad Azlan, Mahfar dan Mustapa pada Majlis Sambutan Aidilfitri MPB di Balai Berita, semalam.
(DARI kiri) Abdul Jalil, Mohamed Jawhar, Mohammad Azlan, Mahfar dan Mustapa pada Majlis Sambutan Aidilfitri MPB di Balai Berita, semalam.
ANTARA kakitangan yang memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri MPB 2016, semalam.
ANTARA kakitangan yang memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri MPB 2016, semalam.