MAYAT Mohd Akmal ditemui di Sungai Klang setelah dua hari pencarian oleh pihak bomba dan penyelamat.
MAYAT Mohd Akmal ditemui di Sungai Klang setelah dua hari pencarian oleh pihak bomba dan penyelamat.
Mohd Fadly Samsudin dan Fardy Bungga


Ampang: Usaha menjejaki kanak-kanak, Mohd Akmal Hamdan, 10, yang lemas di longkang besar berhampiran Taman Tasek Tambahan di sini, sejak Khamis lalu berjaya menemuinya mayatnya dalam Sungai Klang, 50 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, semalam.

Mayat murid tahun empat itu dijumpai orang awam terapung di sungai berkenaan di kawasan Klang selepas dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, orang awam yang terlihat mayat mangsa terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk mendapatkan bantuan segera.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh polis mengesahkan mayat kanak-kanak yang ditemui berkenaan adalah Mohd Akmal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Mangsa sebelum ini terjatuh ke dalam longkang besar terletak di luar Sekolah Rendah Agama Al-Ubudiah Tasek Tambahan, di sini, pada jam 5.45 petang Khamis lalu.

Pihak bomba terpaksa melakukan pencarian di sepanjang sungai dari lokasi dia terjatuh sehingga ke kawasan perangkap sampah di Flat Sri Johor, Cheras, kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian namun masih menemui kegagalan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan mayat kanak-kanak ditemui di Sungai Klang kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat kanak-kanak adalah mangsa yang terjatuh di Taman Tasik Tambahan Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:31 AM