PENDAKI berehat  di puncak Stok La.
PENDAKI berehat di puncak Stok La.

Walaupun rasa penat dan pening akibat penangan altitud tinggi semalam belum habis dalam kalangan peserta Ekspedisi Pendakian Gunung Stok Kangri, India untuk misi ‘Climb for Peace, Water for Syria’, namun perjalanan hari kedua dikhabarkan lebih mencabar oleh jurupandu tempatan.

Namun, ia bukan satu halangan besar bagi meneruskan perjalanan hari ini memandangkan sejak dari awal misi ini dirancang, semua peserta perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal menempuh pelbagai cabaran sepanjang pendakian.

Seawal jam 8 pagi, peserta ekspedisi memulakan pendakian dan keadaan pada pagi ini sememangnya sejuk dan ditambah pula dengan rasa pening kepala akibat penangan tahap oksigen nipis, semalam membuatkan rasa kurang selesa memulakan pendakian.

Jadual perjalanan hari ini ialah kami perlu mendaki dari Rumbak Valley berketinggian 4,000 meter ke Stok La, 4,900 dari aras laut sebelum bermalam di Mankarmo terletak lebih rendah dari Stok La iaitu 4,500 meter.

Sememangnya perjalanan dari Rumbak Valley ke Stok La sekali lagi menduga kemampuan fizikal dan mental 13 peserta ekspedisi dianjurkan Kelab Jelajah Alpine-Malaysia (KJA-M) itu kerana bentuk muka bumi yang pelbagai ada kalanya mendatar dan boleh mencanak dalam beberapa minit perjalanan seterusnya.

Sekitar enam jam perjalanan dari Rumbak Valley akhirnya kami tiba di Stok La dan aras ini kelihatan jelas beberapa gunung yang berhampiran dengan Gunung Stok Kangri kerana Stok La seperti puncak utama yang perlu dilepasi peserta sebelum menuju ke kem induk Stok Kangri.

Sebaik tiba di puncak Stok La, peserta mengambil masa berehat walaupun ketika itu angin kuat dan ada antara kami mengambil peluang tidur sebentar kerana terlalu letih selepas menempuh perjalanan pendakian yang mencabar terutama melalui jalan berbatu ke puncak itu.

Seterusnya, semua peserta meneruskan perjalanan turun ke Mankarmo yang berketinggian 4,500 meter dan ia terletak lebih rendah dari Stok La kerana di Mankarmo, peserta perlu berehat pada kedudukan altitud lebih rendah sebelum ke kem induk pada hari ketiga.

Sekitar tiga hingga empat jam melalui perjalanan turun akhirnya kami sampai ke Mankarmo yang kedudukannya terletak berhampiran air sungai dan menjadi lokasi utama perkhemahan pelbagai kumpulan pendaki ke Gunung Stok Kangri.

Sejajar dengan misi ekspedisi ini, orang ramai yang ingin menyumbang untuk projek membina telaga air bersih di Syria boleh terus menyalurkan dana ke akaun Maybank Aman Palestin 562263010787.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:09 AM