myMetro

Banting: “Setiap hari ketika Ramadan sejak enam tahun lalu saya hanya bermimpi berbuka puasa bersama keluarga di kampung, tidak sangka ada rezeki saya pada tahun ini untuk pulang dan bersama mereka,” demikian luahan Nur Zuhairah Mahmud, 28.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kos tinggi untuk pulang ke kampungnya di Banting di sini, selain kekangan kerja sebagai pembantu tadbir serta tanggungjawabnya sebagai isteri terpaksa didahulukan sejak berkahwin dan menetap bersama suami di Seberang Prai, Pulau Pinang sejak 2010.

Katanya, dia tergerak untuk menyertai peraduan 30 Hari 30 Iftar anjuran Hot fm, Kool fm dan Coca-Cola selepas mendengarnya di radio beberapa minggu lalu.

“Kali terakhir saya berbuka puasa bersama keluarga sebelum berkahwin dan jika balik ke kampung pun bukan pada bulan Ramadan.

“Tetapi apabila setiap pagi saya mendengar Kool fm ketika hendak ke tempat kerja dan ada peraduan ini, tanpa berfikir panjang saya menyertainya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Jalan Serdang Belah Sungai Buaya di sini.

Nur Zuhairah bersama suami serta anak-anaknya dibawa khas oleh Coca-Cola ke rumah keluarganya selepas memenangi peraduan 30 Hari 30 Iftar untuk berbuka puasa bersama mereka serta penyampai radio Hot fm dan Kool fm.

Sementara itu, ibunya Maimi Mohd Tahir, 62, melahirkan rasa syukur selepas kerinduan anaknya itu untuk berbuka puasa bersama keluarga berjaya direalisasikan.

Katanya, Nur Zuhairah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik itu juga pernah menyatakan hasrat untuk berbuka puasa dan menyambut hari lahirnya bersama abang kembarnya pada tahun ini.

“Mereka berdua berkongsi tarikh lahir sama iaitu 24 Jun lalu dan saya bersyukur kerana akhirnya dapat duduk sekali dan menikmati juadah berbuka bersama dia.

“Terima kasih banyak-banyak kepada penganjur peraduan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 9:44 AM
Nur Zuhairah (kanan) bersama keluarga gembira dapat berbuka puasa bersama ibu dan bapanya.
Nur Zuhairah (kanan) bersama keluarga gembira dapat berbuka puasa bersama ibu dan bapanya.