KOMET Lovejoy melintasi angkasa raya pada 11 Januari 2015.
KOMET Lovejoy melintasi angkasa raya pada 11 Januari 2015.
FOTO Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko yang dirakam menerusi kamera sudut lebat OSIRIS di ruang angkasa lepas Rosetta pada 22 November 2014.
FOTO Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko yang dirakam menerusi kamera sudut lebat OSIRIS di ruang angkasa lepas Rosetta pada 22 November 2014.
KERLIPAN bintang, komet dan meteor dapat dilihat tanpa wujudnya pencemaran cahaya di bumi.
KERLIPAN bintang, komet dan meteor dapat dilihat tanpa wujudnya pencemaran cahaya di bumi.
TEKSTUR permukaan yang luas dan berais pada komet 67P/Churyumov-Gerasimenko.
TEKSTUR permukaan yang luas dan berais pada komet 67P/Churyumov-Gerasimenko.
POKOK terbaring bertaburan di seluruh kawasan luar bandar Siberia pada 1953 iaitu 45 tahun selepas letupan udara misteri berlaku di Tunguska.
POKOK terbaring bertaburan di seluruh kawasan luar bandar Siberia pada 1953 iaitu 45 tahun selepas letupan udara misteri berlaku di Tunguska.
BALAI cerapan yang dibuka di Pulau Langkawi, Kedah.
BALAI cerapan yang dibuka di Pulau Langkawi, Kedah.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Sering kali di dalam cerita kanak-kanak barat dipaparkan aksi memohon hajat pada 'wishing star' atau komet yang melalui langit bumi seperti dalam The Princess and the Frog yang diterbitkan pada 2009.

Babak memohon hajat itu mitos semata-mata, tetapi komet memang wujud meskipun tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Tidak banyak penjelasan mengenai komet yang diketahui umum kerana ia bukan selalu melepasi ruang angkasa bumi.

Namun, persoalan mengenainya menarik perhatian masyarakat dunia terutama kepada ahli astronomi yang sentiasa memantau galaksi agar pergerakan komet dan asteroid dapat dikenal pasti kedudukannya.

Jika kedudukan komet dan asteroid tidak dipantau dan membabitkan pelanggaran dengan bumi, bumi bakal menjadi 'padang jarak padang tekukur', tandus dan lapang.

Batuan-batuan kecil daripada dua ketulan itu pernah menghentam bumi, namun kebanyakannya gugur ke laut.

Malah, teori kepupusan dinosaur mungkin disebabkan asteroid yang pernah menghentam bumi kira-kira 607 juta dulu.

Hentaman komet dan asteroid mempunyai kekuatan kira-kira seribu kali ganda berbanding bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun. Maka, kita pasti mampu membayangkan malapetaka yang menimpa bumi jika keadaan itu berlaku.

Merujuk laman science.nasa.gov pada Jun 1908, batu angkasa meletup kira-kira 10 kilometer dari atas tanah yang melepaskan 15 megaton tenaga hingga meranapkan 2,000 kilometer persegi hutan di Tunguska, Russia.

Meteor itu berukuran kira-kira 60 hingga lebih 1,000 meter perdiameter membentuk sebuah kawah dalam lembangan Tasik Cheko yang berkeluasan 500 meter dengan kedalaman 50 meter.

Hentaman komet ke atas planet sebenarnya jarang terjadi. Namun, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) pernah merakam pelanggaran komet Shoemaker-Levy 9 ke atas Jupiter pada Julai 1994 yang menyebabkan lubang sebesar bumi.

Namun, komet dan asteroid kekal menjadi objek penting bagi membolehkan ahli astronomi mengkaji perkaitannya dengan alam semesta, sejarah galaksi dan pembentukan kawah planet dalam Sistem Suria.

Ahli astronomi berpendapat, komet terbentuk daripada sisa-sisa gas, habuk, ais dan batuan yang membentuk Sistem Suria kira-kira 4.6 bilion tahun lalu.

"Komet terdiri daripada dua bahagian iaitu kepala dan ekor. Kepala komet dikenali koma yang mempunyai nukles manakala ekor komet pula terbahagi kepada dua iaitu ekor ion dan ekor debu.

"Nukleus atau teras komet adalah seketul ais yang terdiri daripada ais dan gas beku seperti karbon dioksida, karbon monoksida, metana serta ammonia," kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, ANGKASA, Mhd Fairos Asillam.

Komet berasal dari dua kawasan di Sistem Suria iaitu 'Kuiper Belt' terletak di luar orbit Neptune dan 'Oort Cloud' di luar orbit Pluto.

Komet di Kuiper Belt mengambil masa kira-kira 200 tahun untuk melengkapkan satu pusingan di orbitnya manakala komet di Oort Cloud melakukan pusingan selama beratus atau beribu tahun.

Menurut Fairos, planet atau batuan angkasa yang lalu di kawasan komet menyebabkan ketulan ais yang terkumpul itu terkeluar daripada kumpulannya.

"Ais yang berpecah dan berselerakan itu bergerak tanpa haluan di angkasa dan boleh memasuki mana-mana orbit termasuk Sistem Suria.

"Apabila komet semakin dekat dengan matahari, ais di permukaan nukleus mula bertukar menjadi gas, membentuk awan yang dikenali koma.

"Radiasi daripada matahari menolak zarah debu dari koma lalu membentuk ekor debu, manakala zarah bercas daripada matahari akan menukarkan beberapa gas komet ke dalam ion, membentuk ekor ion.

"Ketika melintasi matahari, ekor komet menjadi semakin panjang, terbakar dan bersinar kerana menerima kepanasan matahari.

"Kita boleh melihat beberapa komet dengan mata kasar apabila ia berhampiran dengan matahari kerana koma dan ekor komet akan bersinar-sinar hasil dari serapan tenaga matahari. Namun, kebanyakan komet terlalu kecil kerana kedudukan jauh untuk dilihat tanpa teleskop," katanya.

Kebanyakan nukleus komet berukuran sehingga 16 kilometer. Sesetengah komet mempunyai koma yang boleh mencapai hampir 1.6 juta kilometer lebar dan ekor komet pula mencecah 160 juta kilometer panjang.

Fakta menarik mengenai komet ialah ia diberi nama bersempena orang yang menemuinya.

Antara yang popular ialah komet Shoemaker-Levy 9 ditemui oleh Eugene dan Carolyn Shoemaker serta David Levy; komet Lovejoy ditemui oleh Terry Lovejoy, komet Ikeya-Seki ditemui oleh Kaoru Ikeya dan Tsutomu Seki pada September 1965, komet Hale-Bopp oleh Alan Hale dan Thomas Bopp pada Julai 1995, komet Hartley oleh Malcolm Hartley pada 1986 dan komet Hyakutake pada January 1996 oleh Yuji Hyakutake dari selatan Jepun.

Komet C/2014 Q2 (Lovejoy)

Kali terakhir komet ini merentasi Sistem Suria kira-kira 11,500 tahun lalu dan dijangka kembali untuk tempoh 8,000 tahun lagi.

Ditemui oleh Terry Lovejoy, komet ini tidak berada dalam Sistem Suria selama 13,000 tahun berdasarkan pengiraan orbit. Walaupun jarang berlaku, ia masih boleh diperhatikan sesiapa yang mempunyai teropong.

Sinaran ultra ungu daripada matahari terhadap molekul karbon menyebabkan koma Lovejoy berwarna hijau dan bersinar terang.

Ia mendekati bumi pada 7 Januari lalu dan berlangsung selama dua minggu sehingga 21 Januari dan hari ini, Komet Lovejoy bergerak lebih dekat dengan matahari dan menjadi malap.

Kebiasaannya, komet mempunyai ekor debu dan ekor ion tetapi Lovejoy tidak menghasilkan debu yang cukup untuk menjana ekor debu daripada kelihatan dengan jelas.

Gas ekor ion panjang kelihatan berwarna biru kerana ion karbon monoksida yang tersinar. Sedikit debu mengembang keluar dari koma komet membentuk ekor komet memantulkan cahaya matahari dan menghasilkan cahaya putih kekuningan.

TUMPUAN FENOMENA ASTRONOMI 2015

* 4 April : Gerhana Bulan Penuh

Bumi berada di antara bulan dan matahari. Gerhana kelihatan di kebanyakan kawasan di Amerika Utara, Asia Timur dan New Zealand. Gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di Malaysia.

http://eclipse.gsfc.nasa.gov/LEplot/LEplot2001/LE2015Apr04T.pdf

* 12-13 Ogos : Pancuran Meteor Perseids

Purata 60 pancuran meteor sejam ketika waktu puncak. Meteor muncul dari buruj Perseus.

* 14 September : Bulan Di Kedudukan Apogee

Bulan berada di kedudukan paling jauh dari bumi (406,466 km) bagi fasa bulan kali ini pada jam 19:28. Ini juga merupakan kedudukan bulan paling jauh dari bumi bagi tahun 2015.

* 28 September : Bulan Di Kedudukan Perigee

Bulan berada di kedudukan paling dekat dengan bumi (356,877 km) bagi fasa bulan kali ini pada jam 09:46. Ini juga merupakan kedudukan bulan paling hampir dengan bumi bagi tahun 2015.

* 20-21 Oktober : Pancuran Meteor Orionids

Purata 20 pancuran meteor sejam ketika waktu puncak. Meteor muncul dari buruj Orion. Waktu terbaik untuk menyaksikan meteor ini selepas waktu malam pada 20-24 Oktober ke arah timur. Kenampakan pada tahun ini agak menarik kerana bulan terbenam selepas tengah malam.

* 13-15 Disember : Pancuran Meteor Geminids

Purata 60 pancuran meteor sejam ketika waktu puncak. Meteor muncul dari buruj Gemini. Waktu terbaik untuk menyaksikannya adalah selepas tengah malam di kawasan yang bebas dari pencemaran cahaya ke arah timur.

FAKTA KOMET YANG DICERAP DI OBSERVATORI NEGARA LANGKAWI AGENSI ANGKASA NEGARA (ANGKASA)

1) Komet 17P (Holmes)

Komet pertama yang berjaya dicerap di Observatori Negara Langkawi sejak penubuhannya. Komet ini dicerap pada 2 November 2007 dengan menggunakan teleskop utama RCOS berdiameter 508 milimeter (20 inci).

2) Komet C/2007 N3 (Lulin)

Sangat menarik kerana ia mengikuti orbit yang agak luar biasa dengan bergerak ke arah bertentangan dengan planet. Ia juga menduduki orbit yang dengan kecondongan yang sangat rendah iaitu kira-kira 1.6 ∞ darjah dari ekliptik. Oleh yang demikian, komet ini berada dalam trajektori parabola, yang bermakna ia mungkin tidak pernah berinteraksi dengan planet dan kemungkinan ini adalah perjalanannya yang pertama ke dalam sistem suria.

3) KOMET C/2012 S1 (Ison)

Apabila melihat gambar komet Ison atau mana-mana komet, kita tidak dapat melihat nukleus komet. Apa yang kita nampak adalah gas disekitarnya yang sebelum ini membeku seperti ais. Apabila komet menghampiri matahari, ais ini akan menjadi semakin panas dan bertukar secara langsung kepada gas. Ia kemudiannya terbebas dari graviti nukleus yang lemah dan membentuk koma yang kabur di sekitarnya. Koma komet ISON dianggarkan bersaiz kira-kira 120,000 kilometer iaitu sepuluh kali diameter bumi.

4) KOMET C/2014 Q2 (Lovejoy)

Kali terakhir komet ini melintasi sistem suria kira-kira 11,500 tahun lalu dan ia dijangka tidak kembali lagi untuk tempoh 8,000 tahun lagi. Sinaran ultra ungu daripada matahari terhadap molekul karbon menyebabkan kepala komet berwarna hijau dan menyinar terang.

Komet biasanya mempunyai dua ekor iaitu ekor debu dan ekor ion, tetapi Lovejoy tidak menghasilkan debu yang cukup untuk menjana ekor debu daripada kelihatan dengan jelas. Gas ekor ion panjang kelihatan berwarna biru kerana ion karbon monoksida yang tersinar. Sedikit debu mengembang keluar dari koma komet membentuk ekor komet memantulkan cahaya matahari dan menghasilkan cahaya putih kekuningan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:05 AM