Mhd. Amin (kiri) beramah mesra bersama peserta persidangan ketika majlis perasmian Persidangan Pengukuhan Kawalan Bangunan di Dewan Mestika, Institut Latihan DBKL, Cheras.
Mhd. Amin (kiri) beramah mesra bersama peserta persidangan ketika majlis perasmian Persidangan Pengukuhan Kawalan Bangunan di Dewan Mestika, Institut Latihan DBKL, Cheras.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Hanya kerana mahu menjimatkan kos, segelintir pemilik rumah teres dikesan mengupah arkitek atau jururunding tanpa tauliah bagi menjalankan kerja sambungan, pembinaan dan mengubah suai rumah mereka.

Tindakan itu bukan saja menyebabkan pemilik bakal dikenakan tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), malah berdepan risiko keselamatan.

Menyedari perkara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan program pemutihan bangunan khususnya kepada pemilik rumah teres sekitar Lembah Klang di bawah pentadbiran mereka bermula Jun ini.

Program selama enam bulan itu bertujuan menyelaraskan pembinaan, pengubahsuaian dan kerja sambungan yang dibuat secara haram tanpa kelulusan atau permit.

Menurut Pengarah Jabatan Kawalan dan Pengawasan Bangunan DBKL, Alias Marjoh, pada masa ini, pihaknya mengadakan perbincangan lanjut berhubung garis panduan yang bakal dikeluarkan kepada pemilik.

“Kami masih memberi kelonggaran kepada pemilik, malah sebelum mengenakan sebarang tindakan tegas termasuk meroboh struktur terbabit, DBKL akan menyalurkan maklumat terlebih dulu kepada mereka dan menjalankan kempen kesedaran.

“Pemilik juga diberi peluang untuk tampil membuat permohonan dan mengemukakan pelan pembinaan terbabit bagi mendapatkan kelulusan dan sijil menduduki (CF),” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Pengukuhan Kawalan Bangunan di Malaysia ‘Bangunan Berkualiti untuk Kebaikan Masa Hadapan’ di Institut Latihan DBKL, di sini, semalam.

Menurut Alias, sekiranya dalam tempoh pemutihan itu pemilik masih berdegil dan gagal mengemukakan permohonan, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, persidangan berkenaan menjadi platform dan kefahaman setara serta perkongsian amalan baik dalam pelaksanaan kawalan bangunan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan pengamal swasta.

“Kami boleh berkongsi idea dan bertanyakan bagaimana pelaksanaan kawalan bangunan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan yang lain dan daripada perbincangan itu kita boleh selaraskan supaya apa yang dilaksanakan di sini (Kuala Lumpur) sama dengan di Alor Setar atau Johor Bahru,” katanya.

Katanya, persidangan itu juga memantapkan fungsi dan peranan semua pihak penyelenggaraan bangunan supaya dapat menghasilkan bangunan berkualiti meskipun dalam tempoh singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:17 AM