AKSI Shaaban dalam kejohanan yang pernah disertai sebelum kemalangan.
AKSI Shaaban dalam kejohanan yang pernah disertai sebelum kemalangan.
Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: “Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan dan kata-kata semangat kepada keluarga kami.

“Ini menaikkan semangat abang saya yang kini amat tertekan dengan kejadian itu,” kata adik kepada Shaaban Hussin, pemain golf negara yang kehilangan kaki kiri susulan kemalangan jalan raya di Lebuhraya Guthrie, pada akhir Mac lalu.

Mohammad Akhir, 23, berkata, Shaaban kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan semakin menunjukkan perkembangan positif.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk membantu keluarga abang saya.

“Ia digunakan sebaik-baiknya memandangkan abang mempunyai dua anak kecil,” katanya.

Dia ditemui ketika mewakili Shaaban menerima sumbangan RM250,000 yang dikumpul daripada peserta acara Golf Amal Team MB dan ExSAS di Mahkota Golf and Country Club di sini, semalam.

Ia disampaikan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Acara itu disertai oleh 80 peserta termasuk kakitangan kerajaan dan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah.

Mohammad Akhir yang bekerja sebagai kakitangan sebuah kelab golf di Kuala Lumpur berkata, keluarganya amat berterima kasih atas keprihatinan pelagai pihak terhadap nasib abangnya itu.

“Saya bersyukur kerana Menteri Besar sendiri mengadakan acara ini dan ahli politik yang menghulurkan sumbangan,” katanya.

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya pada majlis penyampaian hadiah acara itu berkata, beliau terpanggil mengadakan kutipan derma bagi membantu pemain profesional itu.

Katanya, beliau terharu selepas melihat keadaan lelaki itu menerusi laporan berita dan melihat gambar kemalangan itu.

Katanya, meskipun tidak mengenali Shaaban secara peribadi, beliau berpendapat perlu melakukan sesuatu membantu lelaki itu.

“Oleh sebab itu, kami mengadakan kutipan derma dan Alhamdulilah hari ini (semalam) mengumpul RM150,000 hasil sumbangan pelbagai pihak untuk diserahkan kepada Shaaban.

“Saya harap (Shaaban) menerima kejadian ini dengan takdir Allah SWT. Kami berdoa semoga dia (Shaaban) dan keluarga tabah menempuh dugaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 8:26 AM