MARZUKI (dua dari kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Gemuruh, Sekayu.
MARZUKI (dua dari kiri) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Gemuruh, Sekayu.
Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Terengganu dan Kelantan akan bertemu pada satu perlawanan amal untuk mengumpul dana bagi disumbangkan kepada mangsa banjir di kedua-dua negeri itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 13 Januari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Marzuki Sulong berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan mereka bersetuju mengadakan perlawanan amal itu.

Beliau berkata, hasil daripada kutipan derma pada perlawanan itu akan diagihkan sama rata membabitkan PBSNT dan KAFA sebelum disumbangkan kepada mangsa banjir di negeri masing-masing.

“Tujuan kami mengadakan perlawanan amal ini bagi membantu mangsa banjir di negeri ini dan Kelantan yang teruk dilanda bencana.

“Justeru, kami akan mengagihkan sumbangan hasil kutipan derma dan tiket yang dikenakan sama rata. Kami harap sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban mangsa banjir di kedua-dua negeri,” katanya yang ditemui pada majlis bantuan banjir di Kampung Gemuruh, Sekayu, Hulu Terengganu, kelmarin.

Pada majlis itu, pemain pasukan bola sepak Liga Super Terengganu turut sama mengagihkan bantuan kepada 50 mangsa banjir di kampung terbabit.

Sementara itu, penyerang Terengganu Paulo Rangel berkata program itu tidak asing buatnya kerana pernah terbabit ketika mewakili Perak dan Selangor sebelum ini.

“Hanya bantuan seperti ini saja kami mampu lakukan. Saya harap bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban kepada mangsa banjir di daerah ini,” katanya.

Pemain tengah Gustavo Lopez berkata, dia begitu teruja dapat bersama-sama membantu mangsa banjir di kampung itu.

“Ini pengalaman pertama saya berada di Terengganu dan program kemasyarakatan seperti ini cukup bagus,” kata pemain kelahiran Argentina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:07 AM