DR Naveen menerangkan risiko barah payudara pada Kempen Kesedaran Merah Jambu 2016.
DR Naveen menerangkan risiko barah payudara pada Kempen Kesedaran Merah Jambu 2016.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Lazimnya barah payu dara sering dikaitkan dengan wanita tetapi hakikatnya lelaki juga boleh terdedah berikutan statistik menunjukkan satu daripada 100 lelaki di negara ini berisiko menghidap penyakit terbabit.

Pakar Klinikal Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Dr Naveen Nair berkata, sama seperti barah payudara yang dihidapi wanita, angka pesakit lelaki yang menghidap barah payudara meningkat seiring dengan usia.

Menurut beliau, walaupun sebahagian besar pesakit lelaki yang menghidap barah payudara berumur 60 tahun dan ke atas tetapi ia juga boleh dihidapi lelaki pada mana-mana lingkungan usia.

“Umumnya, lelaki didapati berisiko rendah menghidap penyakit ini malah diagnosis barah payudara lelaki mengambil masa yang lebih lama untuk dikesan.

“Bagaimanapun, lelaki perlu segera bertemu doktor jika terdapat perubahan pada payudara untuk memastikan sama ada ia barah atau sebaliknya. Setakat ini, di Negeri Sembilan, lima lelaki mendaftar diri sebagai penghidap barah payudara.

“Justeru, penting bagi orang ramai menyedari bahawa penyakit itu boleh menyerang lelaki lebih-lebih lagi jika ada dalam kalangan ahli keluarga mereka menghidap penyakit ini,” katanya pada Kempen Kesedaran Merah Jambu 2016, di Universiti Antarabangsa Inti di sini, semalam.

Program anjuran bersama Yayasan Pride dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan bertujuan memberi kesedaran mengenai risiko barah terutama barah payudara.

Hadir sama, Pengarah LPPKN negeri S Rajen Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pride Khairulbariah Munajat dan Naib Canselor Universiti Antarabangsa Inti Prof Datuk Dr Rahmah Mohamed.

Sementara itu, Rajen berkata, orang ramai dinasihati membuat pemeriksaan payudara secara sukarela di empat pusat pemeriksaan ditetapkan iaitu Hospital Columbia, Hospital Mawar, Hospital Pakar Seremban (KPJ) di Seremban dan Pusat Perubatan Nilai.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, 3,000 individu, sebahagian besarnya wanita sudah membuat pemeriksaan di pusat perubatan berkenaan dan LPPKN menyasarkan 1,200 individu membuat pemeriksaan menjelang September ini.

“Orang ramai perlu ambil perhatian kerana barah boleh membunuh malah menurut kajian, kematian akibat barah dijangka meningkat dengan anggaran 12 juta penduduk dunia akan meninggal dunia akibat penyakit ini menjelang 2030,” katanya.

Pada masa sama, Khairulbariah berkata, Yayasan Pride memperhebatkan kempen kesedaranbarah payudara kepada orang ramai termasuk penuntut institusi pengajian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 6:55 AM