JALAN raya utama Bukit Goh yang sebelum ini menjadi laluan utama mengangkut muatan bauksit kini bersih.
JALAN raya utama Bukit Goh yang sebelum ini menjadi laluan utama mengangkut muatan bauksit kini bersih.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Tiada lagi debu merah meliputi jalan, pokok atau papan tanda di bandar ini terutama di FELDA Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sagu, di sini, malah kelibat kereta ‘merah’ diselaputi sisa bauksit di atas jalan raya juga tidak kelihatan.

Penduduk kampung kini boleh membuka tingkap seluasnya tanpa perlu bimbang debu merah masuk ke dalam rumah dan pengusaha kedai makan yang sebelum ini terjejas mampu menjalankan perniagaan mereka.

Keadaan ‘aman’ itu dinikmati sejak tiga bulan lalu selepas kerajaan mengumumkan tempoh moratorium kegiatan perlombongan bauksit pada 15 Januari lalu dan penduduk semakin selesa dengan keadaan itu.

Malah, mereka tidak perlu bimbang keselamatan berdepan dengan lori yang dipandu secara menggila berulang-alik mengangkut bahan mineral itu dari lombong ke pusat penyimpanan.

Selepas tempoh tiga bulan berkenaan hampir tamat, penduduk mula risau sama ada keamanan dan ketenteraman yang mereka kecapi ketika ini akan diragut kembali jika tempoh berkenaan tidak disambung.

Penduduk dapat menarik nafas lega apabila Kabinet membuat keputusan melanjutkan tempoh moratorium kepada tiga bulan lagi sekali gus menjawab persoalan yang mula berlegar di fikiran mereka seminggu lalu.

Penduduk FELDA Bukit Kuantan Norehan Salleh, 30, berkata, keputusan kerajaan itu adalah paling diharapkan penduduk yang kini tidak lagi perlu menjeruk rasa menanggung implikasi negatif aktiviti berkenaan.

Katanya, banyak kelemahan yang perlu diatasi terlebih dulu jika kerajaan mahu membenarkan aktiviti perlombongan beroperasi semula terutama berkaitan keselamatan penduduk.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan, bukan saja membuat penduduk berasa lega tetapi pada masa sama ia dapat memberi masa kepada pengusaha bauksit untuk mencari jalan alternatif supaya tidak mengganggu lalu lintas yang digunakan oleh orang ramai.

“Saya harap pengusaha dapat mencari jalan lain menghantar bauksit ke pelabuhan supaya tidak mengganggu dan mengotorkan kawasan perumahan penduduk sekitar lagi,” katanya.

Norehan berkata, aktiviti perlombongan bauksit sepatutnya dihentikan terus sehingga kerajaan dapat menyediakan satu penyelesaian terbaik yang tidak menjejaskan kehidupan seharian rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 9:38 AM