Che Hussin menunjukkan pokok padi rosak kesan cuaca panas.
Che Hussin menunjukkan pokok padi rosak kesan cuaca panas.
myMetro

Rantau Panjang: Seramai 180 petani di beberapa kampung di kawasan ini berdepan kerugian RM500,000 apabila tanaman padi mereka hampir rosak akibat cuaca panas melampau ketika ini.

Antara kampung terbabit termasuk Kampung Degong, Telaga Mas, Kok Pauh, Kok Batu, Bendang Kubang Inai dan Baguh.

Petani terbabit kini buntu memikirkan tanaman padi mereka bakal musnah ekoran bekalan air dari Empangan Bukit Kwong sudah tidak mampu menyalurkan air kepada tanaman mereka ekoran empangan semakin kering.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Mukim Telaga Mas Che Hussin Ismail, 66, berkata, dia juga berkemungkinan bakal berdepan kerugian RM15,000 akibat masalah berkenaan.

Katanya, tanaman padi seluas lapan hektar yang diusahakannya menjadi kekuningan akibat kekurangan air.

“Setakat ini tanaman saya masih bertahan, namun jika bekalan air tidak dapat disalurkan, padi saya akan musnah.

“Keadaan ini berlaku memandangkan cuaca panas melanda negara dan memberi kesan kepada tanaman serta bekalan air bersih penduduk,” katanya, semalam.

Rakannya, Mat Jusoh Mamat, 60, berkata, tanaman padinya seluas dua hektar juga menunggu masa untuk rosak kerana tidak mendapat bekalan air.

“Saya sedih melihat padi yang diusahakan tidak menjadi seperti yang diharapkan, sebaliknya menjadi kekuningan.

“Perkara ini membuatkan petani di sini tertekan memandangkan ia punca pendapatan kami untuk menyara keluarga,” katanya.

Mat Jusoh meminta kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran melakukan tindakan segera untuk menyelamatkan tanaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 8:17 AM