Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan (KPM) menggariskan beberapa inisiatif utama menjelang tahun terakhir Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tahun depan dengan memfokuskan pencapaian yang menjurus kepada keberhasilan murid.

Antara inisiatif yang akan terus diberi lebih penekanan termasukKemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Piagam Guru dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah.

Tidak terkecuali tumpuan terhadap aspirasi untuk mencapai perpaduan dan merealisasi Anjakan ke 9 PPPM dengan meningkatkan penyertaan aktif ibu bapa, komuniti sektor swasta bagi memastikan ekosistem pembelajaran dapat diwujudkan dalam komuniti.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, KBAT misalnya, kemahiran ini bukan terhad untuk dikuasai murid saja, malah guru, pentadbir dan seluruh warga KPM perlu turut sama memainkan peranan.

“Kita perlu faham, PPPM bermatlamat menyediakan murid yang bukan saja boleh mengharungi cabaran masa depan, malah mampu membentuk masa depan mengikut acuan sendiri.

“Mereka bukan sekadar mengisi peluang pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan. Bukan saja menggunakan teknologi, malah menghasilkan teknologi,” katanya.

Dr Khair juga menyifatkan 2015 sebagai tahun yang cukup penting untuk sistem pendidikan negara melalui pembabitan Malaysia dalam dua pentaksiran antarabangsa iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA).

“Pentaksiran TIMSS sudah dijalankan bulan lalu membabitkan 10,000 murid di 207 sekolah seluruh negara. Keputusannya bakal diketahui tahun depan dan pastinya kita mengharapkan keputusan lebih baik.

“Pada April tahun depan pula akan menyaksikan KPM terbabit dalam pentaksiran PISA. Murid berusia 15 tahun akan mengambil bahagian dalam pentaksiran ini menggunakan komputer membabitkan sekolah menengah harian, berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah agama dan swasta,” katanya.

Khair berkata, terdapat lima bidang yang diberi tumpuan utama sepanjang Gelombang 1.

Ia meliputi usaha meningkatkan penguasaan literasi asas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta numerasi melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PDP).

Selain itu, KPM juga berusaha meningkatkan kualiti keguruan; mengukuhkan kepemimpinan sekolah; memperkuat dan mengupayakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); serta memastikan sekolah dilengkapi infrastruktur asas.

“Transformasi pendidikan adalah satu ekosistem sendiri. Apabila kita berusaha mencapai aspirasi murid, kita memberi sokongan bukan saja menerusi program KBAT atau peningkatan bahasa Inggeris, malah kepada guru melalui program Pembangunan Profesionalisme Berterusan.

“Sokongan juga disalurkan kepada pemimpin sekolah melalui Piagam Pemimpin, malah ibu bapa dan komuniti turut bersama membantu ke arah kemenjadian murid,” katanya.

Ditanya mengenai pelaksanaan PPPM di peringkat akar umbi, Khair menjelaskan, apa yang penting sekarang adalah memastikan semua tenaga pengurusan baik di peringkat KPM, JPN mahupun PPD bergerak bersama untuk melaksanakannya sebagaimana yang diamalkan sejak mula PPPM dilancarkan pada 2013.

Menurutnya, di peringkat sistem, pihaknya memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu pemantauan rapat oleh pelbagai peringkat pelaksana hingga ke bilik darjah, fungsi pengawalan oleh pengurus dan pelaksana serta laporan setiap pemegang inisiatif.

“Manakala di peringkat individu, kita melaksanakan beberapa perkara antaranya Program Turun Padang KPPM yang boleh membantu tindakan pantas diambil.

“Kita juga telah menggunakan sepenuhnya rangkaian dalam kumpulan WhatsApp untuk berhubung secara langsung dan segera dengan semua pengarah bahagian serta pengarah JPN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:40 AM