AMSYAR Sofea Abu Sufian (kiri) mengajar rakan kelasnya, Shah Putra Ahmad  pada Program Guru Kecil.
AMSYAR Sofea Abu Sufian (kiri) mengajar rakan kelasnya, Shah Putra Ahmad pada Program Guru Kecil.
 GURU mengajar dua anak murid pada Program Anak Angkat di sudut bawah tangga  SK Kamil 1, Pasir Puteh.
GURU mengajar dua anak murid pada Program Anak Angkat di sudut bawah tangga SK Kamil 1, Pasir Puteh.
Oleh Muhamaad Razis Ismail dan Nur Lela Zulkipli

Pasir Puteh: Program Cakna Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang dijalankan Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 1, di sini, banyak memberi impak positif sehingga sekolah itu berjaya melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) LINUS, iaitu mencapai kejayaan 100 peratus dalam menguasai kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M) yang ditetapkan tahun lalu.

Lebih menarik, pentadbiran sekolah turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dianggap sebagai keluarga besar sekolah.

Selepas gagal melepasi KPI LINUS pada 2013, pihak sekolah mula merangka strategi baru, termasuk mengadakan Program Cakna LINUS yang terdiri daripada empat program iaitu Program Anak Demo, Anak Kawe (Anak Awak, Anak Saya), Program Anak Angkat, Program Guru Kecil dan Program Sayangku Boleh dan tahun 2014 berjaya melepasi purata kebangsaan sehingga dianugerahkan tawaran (bai'ah) baru oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Lebih unik, pihak sekolah turut memanfaatkan setiap ruang di sekolah termasuk di bawah tangga untuk merealisasikan Program Cakna LINUS.

Guru Besarnya, Che Samsudin Che Amat berkata, program itu diadakan selepas pihaknya mengadakan Pra Saringan pada awal tahun persekolahan untuk mengesan kemampuan murid.

Katanya, tahun ini, 131 murid tahun satu, dua dan tiga terbabit dalam Program Cakna LINUS berkenaan.

“Selepas itu, murid ini diserap ke Program Cakna LINUS untuk memastikan mereka dapat menguasai LINUS dalam Literasi Bahasa Melayu (LBM), Literasi Bahasa Inggeris (LBI) dan Numerasi (Matematik) sebelum Saringan LINUS sebenar dijalankan pada Mac depan.

“Alhamdulillah, sejak program itu dijalankan tahun lalu, kami melepasi KPI dan berharap tahun ini dapat mengulangi kejayaan sama,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Program Cakna LINUS, ia dijalankan di luar waktu proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) untuk tempoh 15 minit ketika waktu rehat setiap hari.

“Antara program yang memberi kesan adalah Program Anak Demo, Anak Kawe yang memberi peluang kepada ibu bapa untuk bersama-sama mengajar anak mereka selama 15 minit di ruang yang disediakan pihak sekolah.

“Manakala untuk Program Guru Kecil, kami memberi peluang kepada murid yang lebih berkemampuan untuk mengajar rakan mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Kamariah Mohd Nor berkata, ibu bapa menyambut baik inisiatif pihak sekolah dan sentiasa memberikan kerjasama untuk memastikan kejayaan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 10:12 AM