ANGGOTA polis  memeriksa  mayat yang ditemui dalam kereta.
ANGGOTA polis memeriksa mayat yang ditemui dalam kereta.
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Sejak Rabu lalu saya ternampak kereta itu tersadai di tepi pantai. Pada awalnya saya tidak ambil peduli, tetapi selepas tiga hari tidak bergerak, saya mula curiga,” kata pekerja pembersihan SWM Environment Sdn Bhd mahu dikenali sebagai Letchumy, 42.

Letchumy berkata, dia menemui mayat seorang lelaki dalam kereta Honda Hybrid di tepi Pantai 3, Batu 8, Telok Kemang, berhampiran Hotel Kok Meng, di sini, jam 9 pagi, semalam.

Katanya, sebaik mendekati kenderaan itu, dia ternampak seorang lelaki sedang tidur di tempat duduk pemandu dan mulutnya berdarah.

“Sehubungan itu, saya cuba membuka pintu kenderaan, tetapi berkunci. Bimbang sesuatu buruk berlaku saya menghubungi pihak polis,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila siasatan dijalankan anggota polis dan bomba mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

“Sewaktu membersihkan kawasan ini pada Rabu lalu, kenderaan itu sudah berada di tepi pantai. Apabila semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) ia masih ada, saya mendekati untuk memeriksanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, lelaki berusia 20-an itu dipercayai meninggal dunia dalam keretanya sejak tiga hari lalu.

“Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD), di sini, untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang Kasim Arifin berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada jam 10 pagi mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba 10 minit kemudian, anggotanya memerlukan enam minit untuk membuka pintu kenderaan.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke HPD untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:10 AM