LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
GAMBAR kenangan Raja Pecut Sekolah ASEAN, Badrul Hisyam ketika melakar kemenangan.
GAMBAR kenangan Raja Pecut Sekolah ASEAN, Badrul Hisyam ketika melakar kemenangan.

Kuala Lumpur: Kejayaan bintang baharu pecut negara Badrul Hisham Manap memecah rekod kebangsaan 100 meter berusia 17 tahun milik Watson Nyambek menarik perhatian beberapa Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan bertindak segera menggilap kebolehan atlet muda itu sehingga ke peringkat dunia.

Mereka mahu atlet berusia 18 tahun itu segera dilatih di bawah program khas sukan bagi memastikan dia berpeluang pergi lebih jauh dengan berjaya dalam acara olahraga itu.

“Pencapaian Badrul satu kebanggaan yang perlu diberi perhatian dan bakatnya mesti digilap sebaik mungkin kerana beliau aset negara yang mempunyai potensi.

“Dalam menggilap bakat Badrul, jurulatih yang melahirkan atlet ini jangan pula dipinggirkan,” kata Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, di sini, semalam

Beliau menegaskan, KBS perlu memastikan atlet itu tidak terpinggir dari program pembangunan dilaksanakan.

Bagi Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) pula, anak muda itu seharusnya diberi peluang mendapat latihan dan pendedahan di luar negara termasuk di Jamaica yang juga negara kelahiran pelari pecut nombor satu dunia, Usain Bolt.

Kecemerlangan Badrul itu turut mendapat perhatian Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang menyokong usaha supaya permata sukan olahraga terbabit tidak disia-siakan kerana negara sudah lama tidak memiliki bintang sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu , Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan ketika menggulung rang undang-undang tersebut menyifatkan Badrul sebagai harapan baharu kepada dunia olahraga negara.

Katanya, kementerian akan memastikan bakat atlet itu tidak dipersia-siakan.

“Kita akan pertimbangkan supaya Badrul Hisham ini diserapkan dalam Program Podium,” katanya.

Program Podium adalah program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan.

Dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei Isnin lalu atlet berusia 18 tahun itu mengejutkan sukan olahraga negara apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m berusia 17 tahun dengan catatan 10.29 saat, memadam rekod lama 10.30s dilakukan Watson pada 1998 untuk pingat emas.

Badrul Hisham juga memenangi pingat emas bagi acara 200 meter dalam masa 21.39 saat yang juga rekod baru kejohanan.

Selepas kejohanan di Brunei, Badrul dijadual menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia di Doha, Qatar pada Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 10:03 AM