Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: “Tiada pemecatan,” kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengulas mengenai desas-desus kononnya Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dipecat dalam Mesyuarat Tertinggi UMNO di bangunan Parlimen, esok.

Sebelum ini, ada khabar angin menyatakan kedua-dua pemimpin berkenaan yang digugurkan dalam rombakan Kabinet Julai lalu akan dikenakan tindakan sama ada dipecat atau digantung keahlian.

“Perkara ini aspekulasi dan persepsi, malah khabar angin juga sudah mula tersebar.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada pemecatan berlaku,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Khatan Perdana Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 350 kanak-kanak berusia enam hingga 13 tahun menyertai program berkenaan yang masuk kali keenam diadakan pada setiap tahun secara percuma.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, Mesyuarat Tertinggi UMNO itu sepatutnya berlangsung pada 27 November, tetapi diawalkan kerana kekangan waktu selain persiapan bagi Perhimpunan Agung UMNO.

“Malah, ia diadakan di bangunan Parlimen kerana kebanyakan Ahli Majlis Tertinggi juga adalah Ahli Parlimen.

“Justeru, mudah jika turut diadakan pengundian usul di situ,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata, kertas siasatan berhubung masalah disiplin beberapa pemimpin UMNO dalam proses disiapkan dan ia akan dibawa ke Majlis Tertinggi untuk diputuskan.

“Apa yang Majlis Tertinggi akan buat sama ada mahu mengambil tindakan terhadap beberapa individu terbabit atau tidak adalah terserah kepada mereka.

“Proses siasatan masih berjalan, ada sudah selesai dan ada lagi belum dapat diselesaikan kerana kita mempunyai proses yang perlu dilaksanakan bukan boleh pecat sesuka hati.

“Saya boleh pecat jika seseorang itu duduk atau bersama pembangkang, menjadi calon dan menyokong pembangkang, muflis serta ada bukti mereka terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 9:15 AM