KHAIRY  bersalaman bersama Shahrom yang bakal berlepas ke Antartika.
KHAIRY bersalaman bersama Shahrom yang bakal berlepas ke Antartika.

Putrajaya: Penjelajah tunggal negara bagi Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan 2015, Shahrom Abdullah, 36, akan berlepas ke Antartika esok bagi memulakan penjelajahan solonya di Kutub Selatan.

Shahrom yang dihubungi semalam berkata, dia sudah bersedia untuk mengharungi cabaran itu selepas menjalani beberapa siri latihan intensif sejak 10 bulan lalu masing-masing di kaki Gunung Everest, Nepal; Norway dan Alaska.

Beliau berkata, dia dijadual memulakan penjelajahan solo pada 21 November ini dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan sejauh 1,000 kilometer (km) membabitkan perjalanan selama 50 hingga 60 hari.

“Sepanjang penjelajahan itu, saya akan menggunakan ski sepenuhnya termasuk menarik beban dalam usaha melengkapkan misi itu. Jika ia berjaya, saya bakal menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan ekspedisi seumpama itu,” katanya yang berasal dari Felda Chiku, Gua Musang.

Katanya, dia akan berlepas ke Punta Arenas, Chile, esok sebelum terbang ke Union Glacier, Antartika bagi memulakan misi ekspedisi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:54 AM