MUSTAFA menunjukkan pas Lawatan Kerja Sementara  yang palsu.
MUSTAFA menunjukkan pas Lawatan Kerja Sementara yang palsu.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Malang nasib seorang lelaki apabila berselisih dengan pegawai Unit Risikan Jabatan Imigresen berpakaian orang awam secara kebetulan di tangga Pusat Komersial Diamond Square, Jalan Gombak sambil memegang pasport dalam jumlah yang banyak.

Curiga melihat keadaan itu, pegawai terbabit mengorek rahsia dengan bertanyakan beberapa soalan, sebelum membawa kepada penemuan premis disewa lelaki terbabit di pusat komersial itu, sekali gus membongkar sindiket pemalsuan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, kehadiran pegawai terbabit di situ pada mulanya mahu melakukan naziran sebelum bertembung dengan suspek berusia 56 tahun yang juga warga Malaysia.

Menurutnya, sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Tinggi) Mohd Radzi Ain memeriksa premis berkenaan dan menemui pelbagai barangan dalam serbuan kira-kira jam 1 petang kelmarin.

“Hasil pemeriksaan kami menemui 51 pasport Filipina, satu pasport Indonesia, dua kad pengenalan Malaysia, sembilan pelekat PLKS, satu cop keselamatan imigresen disyaki palsu dan satu cop keluar imigresen Filipina juga disyaki palsu.

“Selain itu, imigresen turut menemui satu set komputer, satu set komputer riba, satu pemacu data serta beberapa dokumen permohonan pembantu rumah dan wang tunai RM2,222,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Berikutan itu, Mustafa berkata, lelaki terbabit yang juga perancang utama sindiket ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Katanya, pihaknya turut menahan dua wanita Filipina di tempat berasingan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bersubahat dengan rangkaian sindiket berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai melakukan pemalsuan berkenaan sejak lima bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 12:21 PM