New York: Pengacara televisyen dan pakar diet Gina Keatley, Khamis lalu melancarkan inisiatif ‘Krismas ala Malaysia’ bagi menyambut ‘pesta musim cuti gaya Malaysia’ di New York bertujuan mempopularkan makanan dan rempah Malaysia.

Program tajaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah Malaysia Kitchen untuk Program Dunia juga bertujuan meningkatkan eksport makanan dan rempah Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Keatley dilantik sebagai duta makanan Malaysia mempersembahkan beberapa masakan berinspirasikan hidangan Malaysia pada musim cuti akan datang, termasuk hidangan ayam belanda sempena hari kesyukuran.

Program berkenaan diadakan di Malaysian Kitchen Restaurant yang terletak di daerah kewangan New York.

“Ini ayam belanda tradisional hari kesyukuran. Ia akan dimasak dengan campuran unik rempah dan ramuan semula jadi dan sihat Malaysia yang dipengaruhi oleh kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, menghasilkan bentuk baru resipi tradisi dan bukan tradisi,” katanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:51 AM