Program Dasar Pindah Kredit diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memberi peluang kepada penuntut Malaysia di luar negara menyambung pengajian di universiti tempatan akibat kejatuhan nilai ringgit mendapat sambutan menggalakkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa dan penuntut sejak program itu diperkenalkan hujung bulan lalu.

“Bagaimanapun, jumlah sebenar penuntut yang mahu menyertai program ini belum diperoleh kerana ia memerlukan masa untuk dilaksanakan. Saya diberitahu, kita banyak terima pertanyaan berkenaan program namun ia memerlukan masa kerana penuntut sendiri perlu berbincang dengan universiti yang dipohon serta melihat kekosongan di universiti berkenaan.

“KPT hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam memindahkan kredit melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi di sini,
semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:44 AM