Oleh Nor Shafinaz Sari

Ramai dalam kalangan masyarakat mengimpikan bentuk badan yang cantik tidak kira wanita mahupun lelaki dan untuk mengekalkannya sememangnya sukar.

Untuk mendapatkan bentuk badan yang menawan dan mengelakkan kegemukan, ramai yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga ada yang mengamalkan diet yang salah serta mengambil bahan berbahaya.

Tambahan pula, pelbagai jenis produk dijual di pasaran sehingga menyebabkan pengguna sering keliru dengan produk yang selamat dan berkesan.

Begitupun, ramai yang tidak tahu mengenai sejenis ekstrak kacang ginjal (Phaseolus Vulgaris) yang mampu menyekat kanji atau karbohidrat, seterusnya membantu mengurangkan berat badan.

Doktor Perubatan Bahagian Anti Penuaan dan Estatik, Dr Norman Mohd Norawi berkata, phaseolus vulgaris, nama saintifik kepada kacang ginjal putih (white kidney beans) yang berfungsi sebagai penyekat kanji atau karbohidrat yang akan melambatkan pencernaan makanan berkarbohidrat dengan menyekat enzimalfa amilase di dalam usus.

Menurutnya, keadaan itu menjadi penyebab paras insulin dan glukosa darah menjadi lebih rendah dan tidak memuncak selepas seseorang mengambil makanan berkarbohidrat.

“Kesannya akan membantu menurun dan mengawal berat badan kerana lemak yang disimpan akan digunakan terlebih dahulu.

“Jadi produk suplemen yang mempunyai phaseolus vulgaris boleh membantu pengguna mengawal berat badan tanpa perlu berlapar, tetapi dengan syarat mengambilnya sekurang-kurangnya 30 minit sebelum makan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut kajian, phaseolus vulgaris boleh mengurangkan berat badan kira-kira 2.5 kilogram (kg) seminggu.

“Ia bukan sahaja boleh membantu mengurangkan berat badan, malah dapat mengawal paras glukosa dalam badan dan sangat sesuai bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis,” katanya.

Begitupun, pengguna juga masih perlu mengawal jumlah makanan yang diambil dan juga perlu melakukan aktiviti senaman fizikal dengan lebih kerap untuk mendapat hasil yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:44 AM