Kebakaran hutan di beberapa daerah di sini, yang bermula sejak Jun lalu sudah memusnahkan sekurang-kurangnya 5,000 hektar kawasan hutan tanah gambut dan menyebabkan berlaku jerebu yang teruk hingga ke Malaysia.

Proses memadam api juga mengambil masa yang agak lama berikutan lokasi kebakaran yang berselerak dan membabitkan keluasan hutan yang terbakar.

Difahamkan, kebakaran pada mulanya membabitkan keluasan hutan yang kecil namun kembali merebak berikutan bara dari dalam tanah gambut yang belum padam sepenuhnya.

Usaha memadamkan kebakaran juga sukar terutama membabitkan lokasi yang jauh dari jalan utama berikutan kekurangan sumber air dan peralatan memadam api.

Jurucakap Pemadam Kebakaran Kabupaten Kampar Henri Yunan berkata, operasi memadam kebakaran membabitkan 700 pegawai dan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polisi Republik Indonesia (POLRI), Jabatan Kehutanan Indonesia, sukarelawan dan penduduk tempatan.

Beliau berkata, usaha memadam api kini ditumpukan di daerah Rimbo Panjang, Kampar yang bersempadan dengan Pekanbaru yang teruk terjejas jerebu berikutan kebakaran hutan yang belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Lori tangki yang digunakan terpaksa berulang-alik untuk mengangkut bekalan air dari Pekanbaru ke kawasan hutan yang terbakar sejauh kira-kira 50 kilometer (km).

“Kami juga terpaksa mencari sumber air dari sungai atau parit berhampiran, cara itu lebih menjimatkan masa sekali gus membolehkan anggota terbabit memadam kebakaran di kawasan lebih luas,” katanya.

Henri berkata, sejak sebulan lalu, pihaknya bertugas selama 24 jam dan pada waktu malam anggota terbabit akan melakukan pemantauan bagi mengesan lokasi baru yang terbakar berikutan api merebak melalui bawah tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:14 AM