Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Fitrah manusia biasa mahu kehidupan yang senang dan serba lengkap. Malah, ada yang berhajat untuk hidup dalam keadaan sentiasa mewah.

Namun, kalau diperhatikan, kemewahan dunia ini tiada penghujungnya. Semakin kita mendapat apa yang kita hajati, semakin besar pula keinginan kita untuk memiliki lebih daripada itu.

Allah SWT memiliki segala kekuasaan mengurniakan apa saja yang diperlukan oleh hamba-Nya.

Sebagai seorang Mukmin yang menyedari kehidupan ini hanya sementara, kita perlu sedar bahawa harta dunia yang dicari akan hadir bersama tanggungjawab cukup besar.

Harta yang kita peroleh bukan semuanya milik kita secara mutlak, sebaliknya ada bahagian ataupun hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Sebab itu, dalam Islam adanya istilah zakat dan sedekah.

Keadaan ini sudah tentu dapat mendidik jiwa kita agar berpada-pada dalam menikmati harta dunia dan tidak bakhil untuk memberikan bahagian tertentu kepada mereka yang berhak.

Dalam mencari dan mengumpul harta, diri perlu dididik dengan sifat qanaah iaitu berasa cukup dengan apa yang dikurniakan Allah.

Qanaah adalah sikap rela dan reda menerima serta menjauhkan diri daripada rasa tidak puas atau kurang senang.

Namun, harus difahami, Islam tidak menyekat umatnya berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki (harta benda), bahkan menggalakkannya. Cuma, yang dilarang supaya kita tidak lupa diri, lupa Tuhan dan menjadi hamba atau terpedaya dengannya.

Sifat qanaah dapat mendidik diri memahami bahawa Allah berhak mengurniakan rezeki-Nya mengikut ketetapan-Nya tanpa ada sebarang keterikatan dengan mana-mana pihak.

Rezeki kita ditentukan oleh Allah dan tugas kita untuk berusaha mencari dan mendapatkannya.

Ada kala, Allah mengurniakan rezeki kepada kita daripada sumber yang tidak kita sangka. Begitulah hebatnya kekuasaan dan kebesaran Pencipta, yang mencipta kita sebagai hamba-Nya dan memberikan rezeki pula kepada kita.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” (Surah al-Isra, ayat 30)

Berdasarkan maksud firman Allah SWT itu, kita memahami bahawa sememangnya kita tidak layak untuk mengeluh sekiranya tidak mendapat rezeki seperti diingini. Ia berbalik kepada ketentuan Allah.

Kita tidak wajar berasa iri hati sekiranya tidak menerima rezeki seperti orang lain meskipun kita sudah berusaha lebih untuk mendapatkannya.

Sifat qanaah juga dapat membersihkan hati daripada penyakit iri hati dan hasad dengki. Kita bersyukur dengan apa yang kita ada di samping terus menggandakan usaha untuk mendapat rezeki lain yang lebih baik.

Hakikatnya, orang mendapat rezeki yang dirasakan cukup walaupun tidak banyak dikira orang beruntung.

Sabda Rasulullah SAW ertinya: “Sungguh beruntung orang beragama Islam, memperoleh rezeki yang cukup dan dianugerahi sifat qanaah atas segala pemberian.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Orang memiliki sifat qanaah atas rezeki diterimanya memperlihatkan dirinya hamba yang tahu bersyukur kepada Allah. Meskipun dia tidak memiliki banyak harta, dia tetap berasa lega, tiada dengki dan tidak tamak kepada harta orang lain.

Sebaliknya, jika tiada sifat qanaah di dalam diri, perasaan kurang senang akan menghantui jiwanya. Malah, tidak mustahil dia menyangka Tuhan tidak berlaku adil kepadanya kerana tidak mendapat rezeki seperti orang lain.

Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenai sifat qanaah: “Jadilah seorang yang warak, nescaya kamu menjadi manusia paling baik dalam beribadat. Dan jadilah seorang yang memiliki sifat qanaah, nescaya kamu menjadi manusia paling bersyukur.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penulis pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:33 AM