Kangar: “Saya terkejut terdengar bunyi letupan kuat di ruang tamu sebelum melihat anak mengerang kesakitan. Sebaik diperiksa didapati jari tengah tangan kanan anak saya hampir putus akibat letupan mercun bola,” kata Nor Azlina Hamidan, 21, menceritakan kejadian anak lelakinya, Mohamad Irfan Najmi Mohd Fitri berusia tiga tahun cedera selepas mercun bola dipegang meletup, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, mangsa yang bermain di ruang tamu rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Padang Besar, dekat sini, dipercayai menemui mercun bola itu di dalam bilik ibunya sebelum bermain bersama rakannya yang menyalakan api pada mercun itu sehingga meletup.

Nor Azlina berkata, sebelum kejadian, dia bersama ibunya berbual di dapur dan tidak menyedari anaknya masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil mercun bola yang disimpan dalam bilik itu.

Menurutnya, anaknya bermain dengan rakannya sebelum kanak-kanak terbabit menyalakan mercun itu yang berada di dalam genggaman anaknya.

“Saya terkejut mendengar bunyi letupan kuat di ruang tamu sebelum terdengar suara Irfan mengerang kesakitan. Saya bergegas mendapatkannya sebelum mendapati jari tengah dan tapak tangan kanan anak saya berlumuran darah.

“Saya terus membawa Irfan ke Klinik Kesihatan Padang Besar dan selepas diperiksa, doktor menasihatkan terus membawa Irfan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan.

“Jari tengah Irfan cedera serius dan hampir putus, malah saya diberitahu tulang pada jarinya turut patah,” katanya ketika ditemui di HTF, di sini, semalam.

Katanya, mercun bola itu adalah saki baki mercun yang dibeli ketika sambutan Aidilfitri Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, sehingga kini, tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu, namun siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki mercun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:02 AM