ASTRO memperkenalkan pengetua musim baru Akademi Fantasia (AF) musim 2015, Edry (tengah) serta tenaga pengajar AF di Bandar Utama, Petaling Jaya.
ASTRO memperkenalkan pengetua musim baru Akademi Fantasia (AF) musim 2015, Edry (tengah) serta tenaga pengajar AF di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Petaling Jaya: Komposer, anggota kumpulan KRU dan Mojo, Edry Abdul Halim dilantik sebagai pengetua musim terbaru Akademi Fantasia 2015 (AF2015).

Ketua Saluran Hiburan Astro Azlin Reza Azmi berkata, Edry dipilih kerana kreadibiliti dan pengalaman sebagai komposer serta penghibur berpengaruh dalam industri seni tanah air.

“Ini bukan kali pertama Edry terbabit dalam program realiti itu dan pernah menjadi juri tetap AF2013.

“Pihak Astro yakin beliau mampu membimbing peserta menjadi bintang yang boleh memberi saingan dalam industri muzik,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Azlin berkata, musim baru program realiti itu menampilkan 16 peserta yang bukan saja berbakat dalam nyanyian tetapi turut memiliki personaliti menarik.

“Sejak mula diterbitkan pada 2003, saban tahun kami menerima banyak penyertaan berbakat dan ini menjadi cabaran kepasa Astro untuk menyenarai pendek peserta berpotensi serta menonjol,” katanya.

Sementara itu, Edry berharap pengalamannya selama 25 tahun dalam industri muzik dapat dikongsi kepada peserta program realiti itu.

“Saya mahu peserta menerap tema berkarya iaitu kreatif dalam persembahan sendiri. Mungkin peserta tahun ini berbakat menghasilkan lagu sendiri,” katanya.

Masih mengekalkan format asal, program realiti itu menyaksikan gabungan tenaga pengajar berpengalaman seperti Acis sebagai pengarah muzik), Shahrol (vokal), Fatimah Abu Bakar (motivasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmine (tarian dan kareografi), Fauziah Nawi (seni persembahan) dan Que Haidar (pementasan).

Selain itu, pelawak Zizan Razak dan Faizal Ismail sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Konsert Mingguan manakala peserta AF musim pertama, Nana Mahazan mengendalikan Diari AF.

Program pengenalan AF2015 akan ke udara sebanyak dua episod pada 1 dan 2 Ogos ini, jam 9 malam di Astro Ria.

Manakala Konsert Mingguan AF2015 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 9 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:43 AM