Kuala Lumpur: Seorang anak gagal menyelamatkan ibunya yang ditemui terbaring nazak selepas dipercayai meminum cecair peluntur pakaian.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, wanita terbabit dikatakan curiga selepas menemui ibunya terbaring dalam keadaan sesak nafas dalam bilik di rumah mereka di Jalan Kuching di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa berusia 74 tahun sebelum itu keluar dari bilik air dalam keadaan mencurigakan sebelum masuk ke bilik tidur.

Menurutnya, anak perempuan mangsa bagaimanapun pelik selepas terhidu cecair peluntur dan segera membuat pemeriksaan.

“Anak mangsa mengetuk pintu bilik mangsa beberapa kali, namun tidak berjawab,” katanya.

Dia dan suami memecahkan pintu bilik sebelum mendapati ibunya terbaring dalam keadaan sesak nafas.

“Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disahkan meninggal dunia,” katanya.

Munusamy berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat keracunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 8:07 AM