LOK (tiga kanan) menunjukkan surat pertukaran serta-merta diterima guru.
LOK (tiga kanan) menunjukkan surat pertukaran serta-merta diterima guru.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyelesaikan isu membabitkan pertukaran guru secara profesional dan efisien.

Setiausaha Agungnya Datuk Lok Yim Pheng berkata, pertukaran tidak seharusnya dilakukan hanya disebabkan berlaku ketidakpuasan hati pihak atasan dengan guru berkenaan.

Katanya, isu seperti itu sudah pasti mencemarkan serta merugikan profesion perguruan sekiranya gagal diselesaikan segera disebabkan profesion ini dianggap sebagai mulia berikutan mendidik bakal pewaris negara.

Menurutnya, NUTP ada menerima beberapa laporan berkaitan isu seumpama itu dan laporan terbaru diterima di Manjung membabitkan guru bahasa Inggeris.

“Kes itu membabitkan guru di sekolah menengah di daerah ini yang diarahkan bertukar serta-merta di daerah sama dengan alasan pertukaran atas kepentingan perkhidmatan bermula Mac lalu.

“Guru berkenaan tidak mahu menerima pertukaran itu kerana ia dianggap pertukaran tanpa sebab dan pertukaran itu merugikan sekolah disebabkan guru terbabit adalah satu-satunya guru MUET (Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia) di sekolah itu,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Yim Pheng berkata, guru itu membuat rayuan kepada JPN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:25 AM