PEKERJA  pelbagai sektor melafazkan ikrar ketika sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2015.
PEKERJA pelbagai sektor melafazkan ikrar ketika sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2015.
Oleh Shamran Sarahan

Kuching: Kerajaan menetapkan tiga penambahbaikan untuk melindungi kebajikan pekerja di negara ini, terutama dalam memperkemas jaringan keselamatan sosial golongan itu melalui Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela selain menjamin perlindungan keselamatan sosial seluruh pekerja di negara ini.

Menurut beliau, tiga penambahbaikan yang dipersetujui kerajaan itu ialah liputan skim perlindungan PERKESO diperluaskan kepada semua pekerja tanpa had gaji, penyediaan perkhidmatan bergerak ke premis majikan bagi saringan kesihatan percuma dan memperluaskan cuti tanpa rekod bagi menghadapi kematian kakitangan awam.

“Sejak 2013, PERKESO melaksanakan program saringan kesihatan percuma, bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun dan ke atas. Kerajaan memutuskan program ini diteruskan dan ia akan dilakukan secara bergerak sehingga ke premis majikan.

“Selain itu, pada masa ini liputan skim perlindungan PERKESO dihadkan kepada pekerja yang bergaji RM3,000 dan ke bawah, justeru untuk itu PERKESO akan memperluaskan liputan skim ini ke sektor swasta kepada pekerja tempatan tanpa mengira had gaji.

“Jumlah caruman yang diinsuranskan kepada pekerja juga akan ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC) Mohd Khalid Atan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menambah baik pelaksanaan cuti tanpa rekod sektor awam bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Sebelum ini, cuti (tanpa rekod) diberikan selama tiga hari merangkumi suami isteri dan anak, kini ia akan diperluaskan kepada ibu bapa mentua, ibu bapa dan anak angkat yang sah di sisi undang-undang bermula 1 Julai tahun ini.

“Ketiga-tiga cadangan yang diumumkan ini akan memberi manfaat tambahan kepada 500,000 orang pekerja yang berlindung di bawah PERKESO, daripada 6 juta kepada 6.5 juta orang pekerja (kakitangan swasta). Semua pekerja di sektor swasta akan layak menerima faedah perlindungan PERKESO secara automatik,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menegaskan kerajaan akan mengubah hala tuju negara terhadap kebergantungan kepada tenaga buruh murah, sebaliknya akan menumpukan usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain memberi penekanan terhadap latihan vokasional dan teknikal dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Jika kita terus bergantung kepada pekerja asing dan tenaga buruh yang murah, ia tidak akan menjamin daya saing Malaysia sebagai sebuah negara maju. Kita mahu mengikis persepsi bahawa Malaysia sebagai sebuah negara dunia ketiga, sebaliknya kita ingin dilihat sebaris dengan negara dunia pertama (negara maju),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 9:32 AM