Najib hadir pada Himpunan Sang Sapurba Segayong di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, semalam.
Najib hadir pada Himpunan Sang Sapurba Segayong di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, semalam.
Oleh Hairulazim Mahmud

Serdang: “Anak Melayu mesti mengekalkan semangat kependekaran kerana ia penting untuk membentuk kesepaduan demi survival bangsa,” tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kekuatan itu dapat diperoleh melalui ilmu persilatan sebagai paksi kecemerlangan kepada solidariti Melayu dan Islam.

Beliau yang juga Imam Khalifah Agung Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) berkata, silat Melayu terus mengekalkan keaslian walaupun terdapat sedikit perubahan sesuai dengan peredaran zaman.

“Teras silat ialah kekuatan bukan saja fizikal malah menggabungkan keampuhan tubuh, jiwa dan rohani supaya pesilat terus kental.

“Kerana itu pesilat dan pertubuhan silat adalah sebagai benteng ketiga pertahanan negara daripada ancaman musuh seperti yang pernah saya isytiharkan dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam yang dihadiri ahli PSSPGM dari seluruh negara.

Najib berkata, sejak turun-temurun silat adalah seni tempur untuk mempertahankan maruah bangsa dan tanah air tercinta.

Beliau berkata, seni tempur itu diwarisi sejak zaman-berzaman sehingga generasi kini.

“Seni silat adalah wadah perjuangan bangsa Melayu,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Sandang Kebesaran kepada beberapa penerima termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Turut menerima anugerah ialah dua artis terkenal tanah air iaitu Ahmad Azhar Othman atau Awie dan Nasir Bilal Khan.

Najib turut melancarkan Yayasan Silat Gayong bagi menyuntik dana secara terancang kepada aktiviti PSSPGM yang ditubuhkan sejak 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:08 AM