Kuala Lumpur: Suasana sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, panas dengan hujahan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mengenai isu pembelian jet baru kerajaan yang digembar-gemburkan pembangkang.

Malah, beliau sempat menempelak beberapa wakil pembangkang iaitu Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Manivannan (PKR-Kapar), Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) dan Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan menyifatkan mereka kurang bijak apabila menjadi ‘model’ dengan mengadakan sidang media sambil memegang gambar jet itu.

Abdul Azeez secara berseloroh turut memerli Rafizi dan Manivannan yang mungkin turut menggunakan jet baru terbabit sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan Pandan, Kapar, Bukit Katil dan Seputeh ini kurang bijak. Nauzubillah, harap tidak berlaku... kalau Pandan (Rafizi) jadi PM dan Kapar (Manivannan) jadi TPM, akan naik juga kerana jet baru ini milik penuh kerajaan yang memerintah. Walaupun Kapar mimpi di siang hari nak jadi TPM,” katanya yang membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:28 AM