Kepala Batas: Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang memindahkan tiga pusat penyelidikan sains kesihatan dan perubatan di kampus induknya di Georgetown ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), pada masa hadapan.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, perancangan itu diambil berikutan projek menaiktaraf IPPT fasa kedua di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang bakal dilaksanakan pada satu tempoh selepas institut berkenaan mula beroperasi sejak 2010.

Beliau berkata, tiga pusat penyelidikan yang bakal dipindahkan itu adalah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Pusat Analitikal Toksikologi serta Pusat Kawalan Dopping.

“Kami merancang menggerakkan operasi tiga pusat penyelidikan itu ke kampus ini kerana ia lebih relevan dan dekat dengan teknologi di kampus ini yang mana pengajian di sini sepenuhnya tertumpu dalam bidang sains kesihatan dan perubatan.

“Bagaimanapun, kami kini dalam proses mendapatkan dana untuk memindahkan pusat penyelidikan berkenaan ke sini selepas projek fasa dua membangunkan institut ini dijalankan tidak lama lagi,” katanya ketika merasmikan Karnival ‘Jom Masuk IPT’, semalam.

Seramai 50,000 pengunjung hadir memeriahkan karnival anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Omar berkata, kampus di IPPT hanya menawarkan pengajian pasca siswazah yang mana pelajar terbabit adalah mereka yang mengikuti kursus dan menjalankan kajian di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:14 AM