DR Asma (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 USM kepada Rosfaezah yang mewakili arwah Mohd Shamsuri di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
DR Asma (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 USM kepada Rosfaezah yang mewakili arwah Mohd Shamsuri di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


MESKIPUN suami, Mohd Shamsuri Jusuh meninggal dunia pada Mac lalu, namun isterinya tetap berbangga dengan pencapaian kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) itu apabila mewakilinya arwah bagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 USM, hari ini.

Rosfaezah Abu Hassan, 57, berkata Mohd Shamsuri yang juga Pembantu Perpustakaan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Katanya, Mohd Shamsuri ketika itu sudah bersara wajib pada Januari lalu dan tidak tahu namanya tersenarai sebagai penerima anugerah.

“Selepas beberapa hari suami meninggal dunia, saya dihubungi pihak universiti dan dimaklumkan mengenai anugerah berkenaan.

“Sepanjang 28 tahun suami berkhidmat di USM, ini kali kedua beliau terima anugerah cemerlang dan walaupun dia sudah tiada, saya tetap berbangga,” katanya ketika ditemui di Georgetown, hari ini.

Rosfaezah menerima anugerah terbabit yang diserahkan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru.

Pada majlis itu, seramai 426 kakitangan universiti menerima anugerah berkenaan membabitkan 356 kakitangan di kampus induk dan 70 lagi dari Kampus Kejuruteraan, USM Nibong Tebal.

Dalam perkembangan lanjut, selain mahu kakitangannya meningkatkan prestasi kerja, Asma berkata, dia bercadang mahu wujudkan waktu kerja fleksibel kepada kakitangannya.

Malah, beliau mahu menambah bilangan Bilik Laktasi bagi kegunaan ibu bekerja yang menyusu bagi memudahkan urusan penyimpanan susu badan.

“Sebelum ini, waktu kerja fleksible hanya dilaksanakan pada bulan puasa sahaja dan jika hendak buat, ia perlu cukup selama lapan jam.

“Menerusi polisi ini diharap dapat membantu ibu bekerjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dengan baik, sekali gus dapat meningkatkan prestasi kerja masing-masing,” katanya.

USM menjadi perintis menerusi usaha dalam menyediakan Bilik Laktasi, hasil inisiatif Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM.

Bilik yang diwujudkan sejak Januari lalu beroperasi pada 8.30 pagi hingga 4.45 petang, dilengkapi dengan peti sejuk, dispenser, kerusi, sinki, bekalan elektrik bagi kegunaan ibu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 9:36 PM