Syamsul Hafiz (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
Syamsul Hafiz (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.

Kuala Terengganu: Seorang lelaki yang juga ketua kumpulan Geng Pasir Panjang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 157.64 gram.

Tertuduh, Syamsul Hafiz Iskandar Salleh, 21, Jalan Pasir Panjang di sini, mengangguk faham ketika tuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Tertuduh yang bekerja sebagai mekanik didakwa mengedar dadah itu di satu lorong di Kampung Pasir Panjang, di sini, jam 10.30 malam, 8 Februari lalu.

Tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Rozianti menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan kimia.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:04 AM