HABIBAH gembira  Ainaa Amanda mendapat tangan mekanikal untuk memudahkannya menjalani hidup seharian.
HABIBAH gembira Ainaa Amanda mendapat tangan mekanikal untuk memudahkannya menjalani hidup seharian.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Tanpa sedar air mata ini menitis tatkala menatap laporan membabitkan seorang kanak-kanak istimewa bersama ibunya di media, baru-baru ini. Tambah mengharukan apabila menyaksikan sedutan viral video dua beranak itu.

Kisah mereka menjadi tatapan umum yang rata-rata terharu bercampur rasa bangga atas semangat dan sikap waja yang menebal di jiwa.

Lantas, penulis menatap tepat ke arah fizikal tiga anak sendiri yang semuanya sihat dan sempurna. Alhamdulillah, semua itu adalah anugerah Allah SWT.

Rasa sayu bertambah menghimpit jiwa apabila terdengar si ibu memberitahu anaknya yang tangan kudungnya itu berada di syurga. Hiba dan bangga dengan jawapan penuh bermakna seolah-olah si ibu adalah pakar psikologi.

Sewaktu hari pertama sesi persekolahan 2015 tempoh hari, penulis sekali lagi teringatkan kepada kanak-kanak istimewa itu. Ketika yang lain bersahaja melangkah ke pintu masuk sekolah, dia pula memasuki alam persekolahan bersama tangannya yang kudung.

Kisah si anak tangan syurga itu, Ainaa Amanda Shahzali, berusia tujuh tahun dan ibunya, Habibah Hassan, 42, sebenarnya meninggalkan pengajaran sangat berguna buat kita semua.

Pengajaran pertama adalah penonjolan sikap keibuan sejati oleh Habibah yang tidak mengeluh, apatah lagi menyalahkan takdir dengan kurniaan anak seperti itu.

Sebaliknya, dia istiqamah memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap anaknya itu.

Bukan mudah buat seorang ibu bersikap positif terhadap takdir hidup tetapi bagi Habibah, dia bersyukur dan menerima dengan hati terbuka segala anugerah Allah kepadanya.

Malah, naluri keibuannya nyata sangat menebal dengan sentiasa memupuk semangat anaknya itu supaya terus menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Tidakkah ini ciri naluri keibuan yang harus kita kagumi dan contohi?

Perkara kedua, kita dapat memahami yang si ibu bukan calang-calang orangnya kerana mampu memberikan didikan awal sehingga anaknya itu bersikap positif serta menerima takdir Ilahi. Subhanallah!

Kita boleh mentafsir betapa mulia hati ibu Ainaa Amanda apabila dia mengatakan: “Saya bersyukur dan terharu kepada Allah apabila dikurniakan seorang anak yang bijak seperti Amanda kerana dia juga rajin membantu dalam melakukan kerja rumah walaupun belum mengerti apa-apa pada usia berkenaan, tetapi saya rasa amat gembira dengan kehadirannya.”

Begitulah kisah si ibu bersama anaknya yang harus membuka mata dan hati kita untuk bersikap positif terhadap takdir Allah.

Kisah hidup mereka mendidik kita bahawa dalam kekurangan itu pasti ada kelebihan.

Allah tidak sesekali membiarkan hamba-Nya hidup dalam serba kekurangan. Tangan yang kudung tidak semestinya ‘kudung’ pancaindera lain termasuk daya akal fikiran.

Hakikat ini sepatutnya memberikan pengajaran paling berguna buat kita dalam mendidik anak.

Seandainya ada dalam kalangan anak kita yang kurang pintar dalam sesuatu perkara, usah cepat bersangka buruk yang dia lemah dalam semua aspek.

Barangkali ada kelebihan pada lapangan lain. Cubalah kenal pasti kelebihan yang ada pada diri anak kita itu.

Kini, Ainaa Amanda bertambah ceria kerana menerima tangan mekanikal disumbangkan seorang usahawan berhati mulia.

Benarlah, sesungguhnya Allah tidak pernah mengabaikan hamba-Nya. Cuma kita yang selalunya lupa Allah, terutama apabila mendapat kesenangan, kelazatan dan kekayaan. 

Jadi, kita terutama anak yang sedang bersekolah, bersyukurlah dengan kesempurnaan fizikal yang ada pada diri dan bersungguhlah menimba ilmu pengetahuan supaya kelak menjadi insan berguna.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:34 AM