AMANDA (tengah) rancak berbual dengan rakan sekolah.
AMANDA (tengah) rancak berbual dengan rakan sekolah.
Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Syahid Sokri

Pendang: Walaupun Ainaa Amanda Shahzali, 7, dilahirkan tanpa pergelangan tangan kanan, namun kepetahan dan semangatnya bukan sekadar menjadi kekuatan buat keluarga, malah menjadi sumber inspirasi kepada ibu bapa yang memiliki anak senasib dengannya.

Anak tunggal ahli perniagaan, Habibah Hassan, 42, itu disifatkan sebagai penghibur walaupun fizikalnya serba kekurangan dan kanak-kanak petah itu tidak menjadikan keadaan dirinya sebagai alasan untuk menyendiri sebaliknya mudah mesra.

Habibah atau lebih mesra dengan panggilan Abby berkata, dia bersyukur kerana Amanda tidak banyak ragam dan mudah dijaga sejak bayi, sekali gus menganggap anak perempuannya itu sebagai kurniaan paling istimewa dalam hidup walaupun dilahirkan cacat.

Katanya, Amanda yang membiasakan diri menggunakan tangan kiri, bijak dan mudah belajar, selain berdikari.

“Kehadiran Amanda juga menjadi sumber rezeki dan penyeri dalam keluarga sehingga menyebabkan hidup saya rasa kekosongan tanpanya.

“Siapa sangka Amanda kini menjadi sumber inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak senasib dengannya kerana saya turut menerima panggilan telefon daripada seorang ibu yang menangis sejak dua minggu lalu, mengenang dugaan sama diterimanya.

“Namun, sejak video Amanda menjadi viral di laman sosial, baru-baru ini, wanita berkenaan ibarat mula mendapat motivasi dan tidak lagi putus harapan untuk membesarkan anaknya sehingga saya turut terfikir untuk menubuhkan persatuan untuk anak-anak sebegini,” katanya ketika ditemui di Tobiar, di sini, semalam.

Difahamkan, laman peminat kanak-kanak berkenaan di Facebook yang turut mengandungi log video (V-log) memaparkan aksi kepetahannya kini mempunyai lebih 44,000 pengikut walaupun baru dibuka sejak Selasa lalu.

Malah, Amanda turut mendapat undangan daripada beberapa pihak termasuk stesen televisyen untuk ditemu bual berhubung ketabahan yang dimilikinya sebagai sumber inspirasi kepada orang ramai terutama ibu bapa yang memiliki anak orang kurang upaya (OKU).

Habibah menetap di Jakarta, Indonesia kerana urusan niaga sejak 2013 sebelum pulang ke negara ini pada Jun lalu, menganggap Amanda insan cekal yang memiliki kekuatan untuk berdikari.

“Amanda petah apabila berbicara dan suka bertanya sehingga membuatkan setiap orang yang berada berdekatan dengannya tertarik. Seorang kru pentas pernah beritahu anak saya memiliki bakat penghibur,” katanya.

Bercerita mengenai alam persekolahan, Habibah berkata, pada peringkat awal Amanda memasuki tahun satu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusoh, Tobiar, di sini, Ahad lalu, ada perasaan risau kemungkinan dia sukar menyesuaikan diri kerana keadaan fizikalnya.

“Hari pertama persekolahan, saya beritahu pihak sekolah berhubung keresahan itu dan berpesan kepada rakan-rakan sekelasnya agar tidak mengejek Amanda selain meminta mereka menyediakan kemudahan mesra OKU.

“Alhamdulillah, Amanda tidak berdepan masalah sepanjang berada di sekolah kerana dia mudah menyesuaikan diri dan mempunyai ramai rakan walaupun mungkin ada yang akan memandang sinis terhadapnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:22 AM