Sungai Petani: Seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dengan sebuah treler di Kilometer 107, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Petani Selatan, di sini, meninggal dunia awal pagi kelmarin.

Mohd Fauzan Muhamad Zaini, 23, disahkan meninggal dunia pada jam 1.15 pagi kelmarin selepas tiga hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Sebelum ini, mangsa dilaporkan kritikal akibat kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan dada.

Mohd Fauzan yang juga pelajar UniKL mengalami kecederaan parah apabila kereta MPV Nissan Grand Livina yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler selepas gagal memotong kenderaan itu.

Jumaat lalu, bapanya, Muhamad Zaini Zainol Abidin, 52, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 malam kelmarin selepas hampir 11 jam bertarung nyawa di Jabatan Kecemasan HSAH, di sini.

Dalam kejadian 9.20 pagi, Jumaat lalu, seorang maut, manakala empat cedera termasuk dua daripadanya parah selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Mangsa, Muhammad Asyran Mohd Najib, 23, yang ketika kejadian berada di tempat duduk belakang sebelah kiri, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Narizah Ismail, 52, yang juga Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah serta suaminya, Mohamad Zaini dan dua anak mereka, Mohd Fauzan serta Muhammad Naufal, 20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 7:13 AM