KEADAAN kenderaan Perodua Kelisa dan MPV Nissan Grand Livina yang bertembung di Kilometer 9, Jalan Kluang - Teck Wah Hing. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN kenderaan Perodua Kelisa dan MPV Nissan Grand Livina yang bertembung di Kilometer 9, Jalan Kluang - Teck Wah Hing. FOTO IHSAN PDRM
Adnan Ibrahim


DUA beranak maut apabila Perodua Kelisa dinaiki mereka bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina di Kilometer 9 Jalan Kluang-Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, pemandu Perodua Kelisa, Muhamad Firdaus Bahari, 28, dan anak sulungnya, Dhia Auni Batrisyia, 3, disahkan meninggal dunia.

Tiga penumpang lain kenderaan itu cedera ringan, iaitu Mohd Fahmi Ramli, 26, Norfazlina Mohd Shariff, 40, dan Dhia Ainul Mardiah Muhamad Firdaus, 3, yang juga pasangan kembar Dhia Auni Batrisyia.

Lima lagi yang menaiki Nissan Grand Livina, iaitu Muhamad Rohaizam Ramli, 37, bersama empat anaknya, Asyraf Danila, 2, Muhamad Adam Danial, 9, Muhamad Aish Danial, 7, dan Arissa Humaira, 5, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika kejadian kereta mangsa dari arah Simpang Renggam ke Kluang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung MPV dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, Muhamad Firdaus disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.

“Anaknya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati kawasan kemalangan adalah jalan berselekoh dua hala dengan satu hala mempunyai satu lorong dengan permukaan jalan kering dan rata.

“Kenderaan mangsa dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Kluang untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 8:28 PM