MOHAMED Yamin (dua dari kanan) menerima sijil MBOR daripada Zulhairi, semalam.
MOHAMED Yamin (dua dari kanan) menerima sijil MBOR daripada Zulhairi, semalam.

Putrajaya: Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang dikelolakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melakar sejarah apabila Acara Minum Susu Sekolah 1Malaysia Secara Serentak disertai 1.2 juta murid di seluruh negara pada 24 September lalu dimasukkan ke dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).

Timbalan Pengarah (Murid) Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Mohamed Yamin Mohamed Yusof berkata, pengiktirafan itu sangat bermakna kerana ia membabitkan penyertaan 7,000 sekolah rendah di seluruh negara.

Beliau berkata, buat julung kalinya, program itu menerima pengiktirafan sekali gus mencapai matlamat untuk mewujudkan generasi muda yang kuat, sihat dan lebih dinamik dari segi mental.

“Ia juga memberi kesan dan manfaat besar sekiranya setiap murid sekolah rendah membudayakan diri sendiri meminum susu setiap hari bagi memastikan mereka mendapat nutrisi mencukupi.

“Komitmen dan kesungguhan penganjur jelas dan berjaya dibuktikan apabila acara itu dianjurkan serentak menerusi rakaman video secara langsung di beberapa negeri termasuk Selangor, Kelantan, Kedah dan Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book of Records Sempena Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan (PS1M) 2014 di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records Zulhairi Md Zin.

Sijil itu kemudian diserahkan Zulhairi kepada Mohamed Yamin.

PS1M yang dahulunya dikenali sebagai Program Susu Sekolah (PSS) diwujudkan sejak 1983.

Ia sebahagian daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang bertujuan untuk menggalakkan amalan minum susu di kalangan murid sekolah rendah.

Mohamed Yamin berkata, kejayaan itu juga adalah hasil muafakat antara Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM dengan kerjasama Sabah International Diaries Sdn Bhd, Hybrid Allied Sdn Bhd, Konsuma Sdn Bhd, Dutch Lady Milk Sdn Bhd, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Pada majlis sama, beliau berkata, produk PS1M perlu diletakkan di bawah satu jenama supaya mudah dikenali, selain berharap pemantauan rapi dapat dijalankan terhad kualiti susu yang dibekalkan kepada murid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:11 AM