KEMPEN Dutch Lady menyasarkan golongan kanak-kanak bersekolah
KEMPEN Dutch Lady menyasarkan golongan kanak-kanak bersekolah
Intan Mas Ayu Shahimi

Susu adalah sumber nutrisi penting dan paling lengkap untuk memenuhi keperluan seisi keluarga. Pengambilan segelas susu setiap hari dapat membantu tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, sekali gus menguatkan tulang serta otot bagi orang dewasa.

Dalam saranan pengambilan makanan sihat, susu dianggap cukup penting untuk menampung keperluan kalsium tubuh dan membantu mengelakkan masalah osteoporosis (tulang rapuh).

Komited meneruskan kempen minum susu, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) baru-baru ini mengumumkan tahun produktif jenama itu dalam mendidik dan mendorong generasi muda Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.

Melalui kempen Drink Move Be Strong (DMBS), Dutch Lady menyasarkan golongan kanak-kanak bersekolah, dari tahap tadika sehingga ke sekolah menengah.

Pengarah Urusannya, Saw Chooi Lee berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menjalankan beberapa siri program dan kerjasama di bawah kempen DBMS. Antaranya, Jr NBA Malaysia, Anugerah 3K, Program Susu 1Malaysia (PS1M) dan lawatan ke tadika.

Semua aktiviti berkenaan disusun bagi memupuk gaya hidup sihat dengan menggabungkan amalan meminum susu serta mengekalkan fizikal aktif .

PROGRAM Drink Move Be Strong
PROGRAM Drink Move Be Strong

“Melalui kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dutch Lady Malaysia mengadakan aktiviti belajar sambil berhibur, seperti ceramah pemakanan bernutrisi untuk mendidik kanak-kanak sekolah mengenai kepentingan meminum susu dan bagaimana memilih makanan serta minuman sihat.

“Kami juga mengadakan aktiviti luar kelas untuk menggalakkan kanak-kanak meluangkan masa bersenam, sekurang-kurang satu jam setiap hari. Melalui cara ini, mereka akan lebih aktif dalam mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Jelas Chooi Lee, program DMBS diatur dan diperkenalkan bagi membantu menangani masalah nutrisi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

“South East Asian Nutrition Survey (SEANUTS) mendedahkan bahawa satu daripada 20 kanak-kanak Malaysia mengalami masalah kurang berat badan. Satu daripada lima kanak-kanak pula terlebih berat badan atau obes, dan hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia tidak mencapai tahap Saranan Pengambilan Nutrisi (RNI) bagi pengambilan kalsium dan vitamin D.

“Manakala kanak-kanak sekolah berumur antara tujuh hingga 12 tahun pula dilaporkan mengalami kadar aktiviti fizikal yang rendah.

“Begitupun, di Dutch Lady Malaysia, kami sentiasa menyokong inisiatif untuk membantu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan generasi muda.

“Ia juga menjadi antara sebab mengapa kami sentiasa membabitkan diri dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada kanak-kanak,” katanya.

SOKONG inisiatif tingkat kesihatan
SOKONG inisiatif tingkat kesihatan

Tambahnya, aspek paling bermakna dalam kempen yang dijalankan adalah melihat kanak-kanak sekolah lebih arif dalam membuat keputusan gaya hidup sihat.

“Kami berusaha memberi teladan yang baik dalam menyampaikan mesej mengenai pentingnya amalan minum susu dan kekal aktif.

“Berdasarkan maklum balas daripada murid-murid yang terbabit dalam Anugerah 3K, kira-kira 98 peratus mengamalkan gaya hidup aktif, sihat, dan bernutrisi; 96 peratus memahami kebaikan susu dan 93 peratus lagi mahu memulakan tabiat meminum susu.

“Gambaran ini secara tidak langsung menunjukkan inisiatif DMBS tahun lalu menghasilkan capaian terbaik, dengan pembabitan sejumlah 254,435 orang kanak-kanak sekolah di serata Malaysia. Menariknya, ia memperlihatkan peningkatan empat kali ganda berbanding 2016,” katanya.

Dengan pertambahan rancangan yang sedang dijalankan , Dutch Lady Malaysia mahu terus mempromosikan kebaikan susu kepada kanak-kanak sekolah menerusi kempen sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:34 AM