Oleh Alias Abd Rani

Miri: Membaca jampi sebelum menghembus ke muka mangsa. Itu kaedah mistik dilakukan seorang wanita untuk membolot wang simpanan pelaburan rakan sekolahnya sendiri sebanyak RM267,000.

Difahamkan, tindakan suspek itu menyebabkan mangsa seperti dipukau dan hanya menyedari wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya hilang hujung November lalu sebelum membuat laporan polis kelmarin.

Mangsa mendakwa dia berada dalam keadaan dipukau dan tidak menyedari dibawa oleh suspek untuk membuat sekurang-kurangnya 10 transaksi pengeluaran di sebuah bank di Boulevard, di sini, sejak Jun lalu.

Sumber polis berkata, mangsa wanita yang berusia 37 tahun itu sedar dia ditipu rakan sekolahnya sendiri apabila semakan dengan cawangan ASB Miri mendapati akaun pelaburannya hanya berbaki kira-kira RM700.

“Mangsa yang mendakwa wang simpanan ASB miliknya sepatutnya berjumlah RM267,744.01 dan dia yakin rakan sekolahnya bertanggungjawab dalam kehilangan wang itu.

“Ini kerana sepanjang tempoh kejadian, suspek yang berasal dari Selangor berada bersamanya kerana menziarahinya, di sini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, mangsa semakin yakin ada yang tidak kena apabila mendapati muka surat empat dan lima buku pelaburan ASB miliknya dikoyak, dipercayai perbuatan suspek bagi menghilangkan bukti pengeluaran wang yang dilakukan.

“Mangsa mendakwa dia seperti hilang ingatan dan tidak tahu apa berlaku selepas suspek menghembus mukanya,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek adalah rakan mangsa ketika sama-sama bersekolah di sebuah sekolah di Klang pada 1993 hingga 1994.

“Namun, ketika disoal siasat, mangsa memberitahu dia lupa mengenai latar belakang suspek. Mungkin mangsa berkeadaan sedemikian akibat kesan pukau dialaminya. Berikutan itu, polis akan menyemak nombor telefon bimbit untuk mengesan suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Kes dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 9:10 AM